1/3 kerusi parlimen Sabah, Sarawak: Hak Perlembagaan yang mesti dihormati – Shafie

KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa hak perlembagaan Sabah dan Sarawak untuk memiliki sepertiga kerusi Parlimen mesti dihormati serta dilaksanakan segera.

Menurutnya, perwakilan yang lebih kukuh bagi negeri-negeri Borneo amat penting agar tuntutan mereka tidak terus dipandang ringan. Beliau menekankan bahawa soal kerusi Parlimen adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan, bukannya satu ihsan.

“Kami bukan meminta-minta. Ini hak kami, yang sepatutnya sudah ditunaikan sejak dahulu. Malangnya, sehingga kini Parlimen masih belum meluluskan perkara ini. Saya berharap kerajaan hari ini tampil dengan keputusan konkrit, bukan sekadar janji manis menjelang pilihan raya,” katanya sebagaimana dilaporkan The Star semalam.

Shafie berkata demikian selepas menghadiri Program Bersama Rakyat Parti Warisan di Tuaran, pada Sabtu.

Ahli Parlimen Semporna dan ADUN Senallang itu menambah, pertambahan kerusi bagi Sabah dan Sarawak akan membuka ruang kepada peruntukan persekutuan yang lebih adil serta meningkatkan kebertanggungjawaban terhadap projek-projek pembangunan, termasuk infrastruktur asas.

“Kami mahu tahu ke mana hilangnya hampir RM1 bilion yang diperuntukkan untuk jalan raya, dan mengapa projek-projek itu masih terbengkalai. Jika kami menjadi kerajaan, saya sendiri akan memanggil JKR, Kementerian Kewangan dan pegawai persekutuan untuk memberi penjelasan,” tegasnya.

Beliau turut mengulas kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, pada Jumaat yang mendesak lebih banyak kerusi Parlimen untuk Sabah dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kuching. Katanya, langkah itu selari dengan semangat MA63 yang bertujuan melindungi kepentingan negeri.

“Jika kerajaan benar-benar mahu menambah kerusi, ia mesti dilakukan mengikut peruntukan perlembagaan – iaitu satu pertiga,” kata Shafie.

Setakat ini, Sabah dan Sarawak hanya memiliki 56 daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen, iaitu sekitar 25 peratus sahaja. Untuk mencapai satu pertiga, kedua-dua negeri itu sepatutnya menguasai sekitar 74 kerusi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *