10 April 2025 akan jadi detik bersejarah buat Sabah

KOTA KINABALU: Veteran politik Sabah yang juga ADUN Usukan Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak menyifatkan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang akan bermula pada 10 April ini akan menjadi lebih bermakna apabila dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah (TYT) yang baharu, Tun Datuk Seri Panglima Haji Musa Aman.

Menurut Salleh, pelantikan Musa sebagai TYT menandakan kali pertama selepas lebih dua dekad seorang ahli politik berpengalaman memegang jawatan tersebut. Kali terakhir ahli politik dilantik ke jawatan TYT adalah Allahyarham Tun Sakaran Dandai pada tahun 1995.

Musa merupakan bekas Ketua Menteri Sabah paling lama memimpin negeri ini iaitu selama 15 tahun (2003-2018).

Dalam majlis perasmian tersebut, Musa dijangka akan menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan yang akan memperincikan hala tuju dan aspirasi pentadbiran negeri Sabah di masa hadapan.

Sebagai TYT, Tun Musa Aman akan memainkan peranan penting dalam sistem demokrasi negeri, termasuk melantik Ketua Menteri, membubarkan DUN atas nasihat Ketua Menteri, memberi perkenan kepada rang undang-undang, dan bertindak sebagai simbol perpaduan serta kestabilan negeri.

“Dengan latar belakang pentadbiran yang kukuh dan pengalaman politik yang mendalam, rakyat Sabah yakin bahawa Tun Musa akan menjalankan tanggungjawab sebagai TYT dengan penuh wibawa dan kebijaksanaan,” kata Salleh dalam hantaran terbaharunya di Facebook.

Majlis perasmian ini akan diserikan dengan Jamuan Hari Raya, yang bertujuan untuk mempererat hubungan silaturahim antara TYT, pimpinan negeri, dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

“Peristiwa ini menjadi satu detik penting dalam sejarah Negeri Sabah, penuh makna dan simbolik untuk perjalanan masa depan negeri,” kata Salleh dalam hantaran itu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *