10 usahawan TEKUN terima pembiayaan berjumlah RM29,000 di Kota Belud

KOTA BELUD: Seramai 10 usahawan TEKUN menerima pembiayaan berjumlah RM29,000 pada Majlis Taklimat Pembiayaan TEKUN dan Perjumpaan Usahawan yang berlangsung di Dewan Gopog, Tanginambur, di sini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyatakan sokongan penuh terhadap pembangunan keusahawanan di negeri ini.

Ewon berkata, pembiayaan yang diterima perlu digunakan dengan sebaiknya untuk memperkukuh perniagaan dan meningkatkan daya saing usahawan tempatan.

“Semoga usahawan yang menerima cek pembiayaan pada hari ini menggunakan peruntukan itu sewajarnya dalam mengembangkan lagi perniagaan.

“Para usahawan di luar sana yang masih tercari-cari sumber kewangan untuk modal pusingan perniagaan bolehlah hadir ke pejabat TEKUN berhampiran untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya pada Majlis yang menghimpunkan lebih 300 usahawan dari sekitar Sabah itu.

Ewon berkata, sepanjang 27 tahun beroperasi, TEKUN Nasional melaksanakan pelbagai agenda dan program keusahawanan yang memberi manfaat kepada rakyat termasuk mempelbagaikan produk pembiayaan mengikut keperluan semasa.

“Pada tahun ini, TEKUN Nasional menyasarkan untuk membantu 40,300 usahawan mikro di seluruh negara melalui peruntukan RM330 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 dan daripada jumlah itu, RM150 juta dikhususkan kepada 5,300 usahawan di Sabah.

“Sejak penubuhannya pada 1998, TEKUN Nasional menyalurkan pembiayaan perniagaan berjumlah RM10.76 bilion kepada 606,049 usahawan di seluruh negara.

“Di Sabah sahaja, sebanyak RM1.25 bilion disalurkan kepada 66,992 usahawan sejak 1998 hingga Ogos 2025,” katanya.

Tambahnya, pada tahun ini sahaja, sebanyak RM95 juta diberikan kepada 1,750 usahawan negeri ini.

Ewon menegaskan angka terbabit membuktikan kerajaan melalui TEKUN Nasional konsisten membantu usahawan Melayu dan Bumiputera di seluruh negara, termasuk Sabah.

Beliau berkata, program turun padang seperti yang diadakan hari ini penting bagi memberi pendedahan secara bersemuka dengan usahawan mengenai peluang pembiayaan yang ditawarkan.

Katanya, usaha ini diyakini mampu memperkukuh ekosistem keusahawanan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *