2 maut kenderaan jatuh gaung di Kampung Moyog, Penampang

KOTA KINABALU: Dua maut, manakala seorang lagi cedera selepas pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas lalu terjatuh ke gaung di Kampung Moyog, Penampang, dekat sini, malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah memaklumkan sembilan anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi selepas panggilan kecemasan diterima pada 8.15 malam.

Sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati kemalangan membabitkan sebuah Isuzu Binghorn yang terbabas dan terjatuh ke gaung.

“Pasukan bomba bertindak menaikkan semua mangsa berada dalam gaung,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memberi rawatan awal kepada seorang mangsa sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Dua lagi lelaki masing-masing berusia 40 dan 49 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” kata kenyataan itu. – BERNAMA

 

Kredit foto: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *