3 buaya, termasuk induk ditangkap di Beaufort

BEAUFORT: Seekor buaya dewasa sepanjang 3.5 meter dengan berat lebih 100kg antara tiga ekor yang ditangkap berhampiran Sungai Weston dalam satu operasi bersama penduduk kampung dan Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar mengesahkan bahawa buaya-buaya itu ditangkap selepas memakan umpan yang dipasang oleh pasukan dari Pejabat Hidupan Liar Pantai Barat.

Beliau berkata, pihak jabatan telah menerima aduan daripada orang awam mengenai kelibat buaya di Kampung Weston dan telah menjalankan rondaan secara berkala di kawasan itu.

“ Selepas beberapa rondaan, kami memasang 10 mata kail berumpan dan berjaya menangkap dua buaya betina serta seekor jantan, masing-masing berukuran antara 5 hingga 11 kaki,” katanya

Seekor buaya dewasa yang dipercayai induk kepada buaya-buaya lain ditemui dalam keadaan lemah, manakala seekor lagi ditemui telah mati semasa operasi kira-kira jam 7.30 pagi Selasa.

Mohd Soffian menambah bahawa jabatan itu akan terus memantau kawasan tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengurangkan konflik antara buaya dan manusia di kawasan terbabit.

Walaupun beberapa ekor telah berjaya ditangkap, beliau memberi amaran bahawa buaya masih aktif di sepanjang tebing sungai Kampung Laut Weston, Kampung Menengah dan Kampung Hulu.

Jabatan turut menasihatkan ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak berhampiran kawasan air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

 

Kredit foto: Jabatan Hidupan Liar Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *