31 PTI Ditahan Dalam Operasi Imigresen di Ranau

RANAU : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 31 pendatang tanpa izin (PTI) dalam satu operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di lima lokasi berasingan sekitar daerah ini pada 16 Julai lalu.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata operasi itu melibatkan 18 pegawai penguat kuasa daripada Pejabat Imigresen Daerah Ranau.

“Daripada 39 individu yang diperiksa, seramai 31 orang ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“PTI yang ditahan terdiri daripada 20 dewasa, termasuk dua wanita, empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan, kesemuanya warganegara Filipina,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit sah untuk berada di Malaysia, serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“JIM Sabah turut menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang melindungi atau menggaji PTI secara haram.

“Orang ramai juga digesa untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat mengenai keberadaan warga asing tanpa izin agar tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.

Katanya, JIM Sabah juga memberi jaminan bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. – Sabah Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *