40 peratus hasil Sabah: Abdul Rahman harap Kerajaan Pusat guna keputusan mahkamah

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan berharap agar Kerajaan Persekutuan menggunakan keputusan mahkamah dalam isu pengagihan 40 peratus pendapatan kepada Sabah.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berkata, keputusan mahkamah tersebut bakal menjadi enjin baharu kepada ekonomi negara.

“Alhamdullilah. Saya mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai isu pengagihan 40 peratus pendapatan kepada Sabah seperti yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia.

“Dalam tulisan-tulisan saya sebelum ini, saya pernah menyatakan bahawa kerajaan pusat sepatutnya melihat Sabah (dan Sarawak) sebagai wilayah pemacu ekonomi baru untuk Malaysia (new economic catalyst region for Malaysia).

“Dengan keputusan mahkamah ini, Sabah bakal menjadi enjin baharu kepada ekonomi negara. Tambahan pendapatan Negeri Sabah ini akan menambah kemakmuran Negeri Sabah menerusi pengurangan kadar pengangguran dan penghapusan kadar kemiskinan negeri Sabah yang dilaporkan tertinggi di Malaysia serta agenda pembangunan Sabah yang lebih pesat dan agresif,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Ujarnya, keputusan tersebut merupakan peluang besar untuk menoktahkan isu kemiskinan yang melanda negeri itu.

“Bila kadar kemiskinan Sabah berkurangan, statistik kemiskinan Malaysia juga akan berkurangan. Begitu juga bila kadar pengangguran negeri Sabah berkurangan, kadar pengangguran Malaysia juga akan berkurangan. Bila kadar pertumbuhan ekonomi negeri Sabah meningkat, kadar pertumbuhan ekonomi negara juga akan meningkat. Inilah yang dikatakan strategi menang menang. Semua ini baik untuk reputasi dan statistik nasional Malaysia juga.

“Maka dengan itu, kita berharap kerajaan pusat menggunakan keputusan mahkamah ini sebagai titik tolak dalam mengorak pendekatan baru konsep persekutuan yang lebih segar berasaskan keadilan dan kesaksamaan bersama. Dengan keputusan mahkamah ini, kerajaan pusat mempunyai peluang besar untuk menekan butang “set semula” (reset button) yang bakal dan mampu menzahirkan potensi terpendam Malaysia.

“Ini adalah peluang besar yang tidak boleh dilepaskan oleh kerajaan pusat untuk menoktahkan satu isu yang selama ini merobek fabrik kesatuan rakyat Sabah dan kerajaan pusat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Undang-Undang Sabah atau Sabah Law Society yang telah bekerja keras untuk merealisasikan impian rakyat Sabah.

“Didoakan semoga keputusan mahkamah tinggi Kota Kinabalu dijadikan dorongan baharu kepada kerajaan pusat untuk bersama rakyat Sabah mengukir masa depan yang lebih makmur dan harmoni untuk negara tercinta kita Malaysia.

“Terima kasih khas ditujukan kepada Persatuan Undang-Undang Sabah atau Sabah Law Society yang telah bekerja keras untuk merealisasikan impian rakyat Sabah selama ini. Kerja keras mereka pasti akan terpahat kemas dalam lipatan sejarah negeri Sabah. Syabas saya ucapkan,” katanya lagi.

 

Sumber: UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *