SOOK: Sebanyak 48 pasar tamu di seluruh Sabah terlibat dalam projek naik taraf dan pembinaan baharu kini siap sepenuhnya, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Mengulas lanjut, Arthur berkata, pelaksanaan projek itu melibatkan peruntukan sebanyak RM15.6 juta daripada Kerajaan Pusat melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Penaiktarafan pasar ini yang bermula pada 25 September 2024 telah siap sepenuhnya pada 2 April 2025. Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif FAMA dalam memperkukuh jaringan pemasaran hasil tani luar bandar serta menyokong Dasar Jaminan Makanan Negara.
“Sebelum ini para peniaga di sini hanya gunakan meja kayu dan memasang kanvas untuk melindungi daripada kepanasan matahari dan hujan. Saya telah mengenalpasti potensi besar di sini untuk pembangunan kawasan terutamanya dengan pembangunan yang telah dan sedang rancak dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Tamu Rancangan Belia Tiulon di Sook, baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri; Pengarah FAMA Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Sarman Sidno serta Pengarah Bahagian Institusi Pasaran FAMA, Mohd. Shahrizan Mansor.
Dalam pada itu, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan kerajaan dalam memperkasa sektor pemasaran hasil pertanian luar bandar, khususnya bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan kondusif kepada usahawan tani tempatan.
Jelas beliau, projek itu dilaksanakan secara berperingkat, dengan keutamaan diberikan kepada pasar tamu yang dikenal pasti memerlukan pembaikan segera atau tidak lagi sesuai digunakan.
Tambahnya lagi, pelaksanaan projek itu dijangka mampu meningkatkan daya saing produk agro tempatan, selain merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat.
Majlis yang diadakan di lokasi pasar tamu itu sendiri telah menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin tempatan, pegawai kerajaan dan para usahawan tani dari sekitar kawasan Sook.
Pasar Tamu Rancangan Belia Sook mula diwujudkan pada tahun 2021 dengan hanya lapan orang peniaga, dan kini telah berkembang kepada 40 peniaga tetap.
Dengan penaiktarafan itu, pasar tamu kini menawarkan ruang yang lebih kondusif dan sistematik kepada usahawan tempatan untuk menjalankan perniagaan mereka, di samping menjadi tarikan ekonomi mingguan yang berpotensi untuk komuniti setempat.
Kemudahan berkenaan juga diharap dapat menggalakkan semangat keusahawanan dan memelihara budaya pasar tradisional yang menjadi identiti masyarakat luar bandar. – Utusan Borneo
