5 ADUN sokong GRS: “Saya tidak terkejut…” – Dr Jeffrey

KOTA KINABALU: Presiden Sabah STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan tidak terkesan dengan tindakan lima ADUN parti itu yang menyatakan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, beliau menghormati keputusan kelima-lima ADUN tersebut dan menyerahkan kepada rakyat membuat penilaian sendiri terhadap tindakan mereka.

“Setiap orang mesti bertindak mengikut hati nuraninya. Saya pernah melihat perkara ini sebelum ini dan saya tidak terkejut,” katanya merujuk pada langkah lima ADUN berkenaan termasuk timbalannya yang juga ADUN Sook, Datuk Ellron Angin, Datuk Annuar Ayub Aman (Liawan), Datuk Robert Tawik (Bingkor), Datuk Flovia Ng (Tulid) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan) memilih kekal bersama GRS.

Kitingan berkata, tidak penting siapa yang bersama beliau tetapi “yang penting ialah sama ada jalan itu benar dan saya tetap di atasnya”.

“Ada yang mungkin memilih jalan yang lebih mudah, tetapi saya akan terus di jalan yang membawa kepada keadilan untuk Sabah,” katanya sambil menambah bahawa perjuangannya adalah tentang maruah, keadilan dan harapan rakyat Sabah yang masih belum dipenuhi.

“Misi saya tetap sama. Saya akan terus memperjuangkan Sabah dan berkhidmat untuk rakyatnya dengan kejujuran dan keberanian.

“Mereka yang memilih haluan lain tetap kawan saya dan saya mendoakan yang terbaik buat mereka,” katanya lagi sambil menegaskan lagi bahawa beliau akan meneruskan perjuangan dan menyerahkan kepada rakyat membuat keputusan.

“Tanggungjawab saya, bagaimanapun, adalah jelas. Perjuangan ini akan diteruskan, dan akhirnya, rakyat yang akan membuat keputusan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *