SRITI berkembang sesuai dengan masyarakat Sabah

PAPAR: Pemuda PAS menyatakan komitmen untuk Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam atau ringkasnya SRITI untuk terus berkembang melalui pendekatan yang sesuai dengan budaya serta jiwa masyarakat Sabah.

Menegaskan mengenai perkara itu Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Hendri Hamsah berkata, SRITI bukan sahaja membawa misi pendidikan berteraskan Islam, malah terbuka dan proaktif dalam meraikan keunikan budaya lokal.

“Usaha mengintegrasikan penggunaan bahasa ibunda seperti bahasa Melayu Sabah, Dusun, Bajau dan sebagainya dalam aktiviti pembelajaran dan kokurikulum merupakan satu langkah ke arah pembinaan identiti pelajar yang lebih kuat dan berakar umbi dalam budaya mereka sendiri.

“Kami menyokong penuh inisiatif memperkenalkan sukan-sukan tradisi tempatan seperti monindak (lari guni), tarik tali, rampanau, sukan rakyat dan sebagainya dalam kejohanan SRITI pada masa hadapan,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Sukan dan Olahraga (KESUGA) SRITI Zon Pantai Barat Sabah kali ke-4 di SMK Beaufort 1, Beaufort, semalam.

Tambahnya, acara tersebut bukan sekadar permainan, tetapi merupakan warisan kerana apabila anak-anak diajar dengan pendekatan tersebut, mereka bukan hanya menjadi cemerlang dalam akademik, bahkan mereka dididik menjadi pewaris budaya yang tahu menghormati sejarah dan akar bangsa mereka.

Selain itu, katanya, dengan penerapan nilai-nilai murni dan sejarah tempatan seperti mengenal tokoh-tokoh Islam di Sabah, adat dalam kerangka syarak, serta naratif perjuangan Islam di bumi Sabah akan memperkukuh jati diri anak-anak SRITI sebagai Muslim yang kuat, yakin, dan mencintai tanah kelahiran mereka.

“Kita ingin SRITI menjadi sekolah Islam rakyat yang benar-benar hidup bersama denyut nadi masyarakat Sabah.

“Inilah bentuk tarbiyah yang inklusif dan membumi mendidik anak-anak yang beragama, berbudaya dan berwawasan,” katanya.

Menurutnya lagi, dengan pendekatan ini, SRITI bukan sahaja milik ibu bapa PAS, tetapi terbuka dan menyantuni semua lapisan masyarakat yang mahu pendidikan Islam yang holistik dan relevan dengan kehidupan tempatan.

Terdapat lima acara sukan telah dipertandingkan dalam kejohanan tersebut yang menyaksikan SRITI An Nawawi, Papar telah mendominasi dengan mengutip 10 kilauan emas seterusnya dinobat sebagai juara keseluruhan pada kali ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *