BN Sabah tawarkan pengalaman, kestabilan bukan retorik topeng kegagalan

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menyelar keras naratif politik yang berulang kali dilaungkan oleh sesetengah pemimpin kononnya hanya parti tempatan mampu membela nasib rakyat Sabah.

Beliau menyifatkan retorik tersebut sebagai retorik lama yang semakin tidak relevan, malah hanya dijadikan topeng untuk survival politik peribadi.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu secara khusus membidas Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan yang menurutnya terus mengulang dakwaan bahawa parti tempatan lebih layak membela Sabah.

“Hari ini, kita masih mendengar ‘lagu lama’ daripada Jeffrey, bahawa hanya parti tempatan mampu membela Sabah, sedangkan nada lagu itu sendiri sudah retak,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

“Jika benar beliau jujur memperjuangkan suara tempatan, kenapa masih gagal menyatukan 19 parti tempatan yang telah berdaftar di Sabah setakat 30 September 2024 di bawah satu panji?” soalnya.

Menurut Bung Moktar, kegagalan parti-parti tempatan dalam membentuk satu suara yang padu membuktikan kelemahan dari segi kejujuran politik, strategi dan kepimpinan.

“Semangat perjuangan tempatan memang penting, tetapi tidak mencukupi jika tidak disertai dengan kematangan strategi dan kesatuan tindakan,” katanya.

Beliau turut menyentuh sejarah politik Jeffrey yang sebelum ini pernah menjadi ahli UMNO pada 2003 sebelum menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2006, sekali gus menunjukkan bahawa gagasan ‘parti tempatan’ yang dibawanya bukanlah sesuatu yang konsisten mahupun tulen.

“Apa yang kita lihat hanyalah permainan untuk mengekalkan pengaruh peribadi, malah tidak segan untuk menumpang pentas parti nasional yang dulu dikecamnya sendiri. Bukankah ini bentuk hipokrasi politik yang paling nyata?” katanya lagi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu menegaskan bahawa UMNO Sabah kekal konsisten dalam membawa agenda pembangunan dan kestabilan negeri melalui kerjasama dalam kerangka nasional.

“Kita percaya kekuatan Sabah bukan pada usaha memencilkan diri, tetapi melalui kebijaksanaan menjalin kekuatan dalam struktur nasional seperti BN.

“Hanya dengan gabungan seperti ini kita dapat membawa pembangunan besar, mempertahankan hak negeri melalui saluran persekutuan dan menjamin kestabilan jangka panjang,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Bung Moktar menyatakan bahawa UMNO Sabah tidak menjanjikan bulan dan bintang, sebaliknya menawarkan pengalaman, kestabilan dan keupayaan sebenar untuk mentadbir.

“Sabah bukan tempat uji kaji politik individu atau pentas drama bertopengkan semangat kenegerian. Negeri ini memerlukan pemimpin yang tahu membezakan antara kuasa dan tanggungjawab, antara suara rakyat dan keinginan peribadi,” tegasnya.

Beliau turut menyeru rakyat Sabah untuk menilai pemimpin bukan berdasarkan pidato penuh emosi semata-mata, tetapi berdasarkan rekod pencapaian yang jelas dan konsisten.

“Apa gunanya melaungkan ‘parti tempatan’ jika gagal membela rakyat ketika diberi kuasa?” soal Bung Moktar, sambil menegaskan bahawa permainan emosi hanya akan mengelirukan rakyat tanpa membawa sebarang manfaat nyata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *