KOTA KINABALU: ADUN Tanjung Batu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan ADUN Sindumin Datuk Dr Yusof Yaacob mengaku tidak bersalah di depan Hakim Jason Juga di Mahkamah Khas Rasuah di sini atas pertuduhan rasuah membabitkan rasuah yang didakwa berkaitan lesen cari gali mineral di negeri itu.
Turut didakwa dan mengaku tidak bersalah ialah seorang ahli perniagaan Tei Jiann Cheing atau dikenali juga sebagai Datuk Albert Tei .
Menurut Malaysiakini, Andi didakwa menerima wang tunai RM150,000 daripada ahli perniagaan Tei sebagai pertukaran untuk memudahkan permohonan lesen cari gali untuk Syarikat Sinaran Hayat Sdn Bhd.
Kesalahan yang didakwa berlaku pada 12 Mei 2023 di kediaman Andi di Jalan Pantai Sembulan, Kota Kinabalu.
Andi – yang juga ahli parlimen Kalabakan dan pembantu menteri dalam kabinet negeri – didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Sementara itu, Yusof, yang juga pengerusi Qhazanah Sabah, didakwa menerima wang tunai RM200,000 daripada Tei di bar atas bumbung Hotel Hilton di Kota Kinabalu pada 6 Mac 2023. Suapan itu didakwa bertujuan membantu memproses lesen cari gali Syarikat Nusa Kini Sdn Bhd.
Tei, seorang ahli perniagaan dari Selangor dan juga pemberi maklumat dalam skandal itu, didakwa atas dua pertuduhan menawarkan rasuah kepada Adun di bawah peruntukan undang-undang yang sama.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM50,000 setiap seorang kepada Adun itu, dengan RM10,000 perlu didepositkan dan penjamin tempatan diperlukan. Tei dibenarkan ikat jamin RM60,000 bagi kedua-dua pertuduhan, dengan RM15,000 perlu didepositkan dan juga penjamin tempatan.
Mahkamah menetapkan 5 Ogos 2025 untuk pengurusan kes pra-perbicaraan.
