Kerajaan GRS hormati undang-undang, tidak campur kes ADUN – Nizam

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku, termasuk membabitkan wakil rakyat kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak akan sesekali mencampuri siasatan atau pendakwaan terhadap mana-mana individu.

Katanya, pendirian tegas Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, yang tidak campur tangan dalam kes pendakwaan dua ADUN baru-baru ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan negeri terhadap integriti dan kebertanggungjawaban.

“Pendirian ini membuktikan kerajaan negeri tidak tunduk kepada tekanan politik atau sentimen semasa, sebaliknya menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Isu membabitkan dua ADUN terbabit adalah bersifat peribadi dan seharusnya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk ditangani secara telus dan adil,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Nizam berkata, sebagaimana yang ditegaskan Ketua Menteri, kerajaan negeri tidak akan membuat keputusan tergesa-gesa berhubung kedudukan dua ADUN berkenaan, sebaliknya menunggu laporan lengkap daripada pihak berkuasa.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan sesekali melindungi mana-mana individu yang terbabit dalam salah laku.

“Namun pada masa sama, kerajaan juga tidak akan membiarkan isu ini dimanipulasi untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri yang sah, kukuh dan sedang bekerja keras membangunkan Sabah.

“Biarlah mahkamah menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak. Setiap individu berhak mempertahankan diri dan kita perlu berpegang kepada prinsip asas undang-undang bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus berfungsi seperti biasa dan tidak akan goyah dengan sebarang usaha yang cuba menjejaskan kestabilan pentadbiran sedia ada.

“Fokus utama kerajaan GRS kekal kepada agenda pembangunan negeri, menarik pelaburan dan memastikan kesejahteraan rakyat Sabah terus dipelihara,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *