KOTA KINABALU: Ketua Penerangan parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, tampil menjelaskan berhubung dakwaan yang mengaitkan Kerajaan Warisan dengan kelulusan kawasan perlombongan kepada Lincah Hebat Sdn. Bhd.
Dalam kenyataan medianya semalam Azis menegaskan bahawa surat yang tular bertarikh 31 Januari 2019 bukanlah surat kelulusan, sebaliknya hanya surat akuan penerimaan (acknowledgement letter) yang dikeluarkan oleh Pejabat Hasil Bumi, Jabatan Ketua Menteri.
Surat tersebut, menurut beliau, hanyalah satu prosedur biasa bagi pihak kerajaan untuk mengesahkan penerimaan permohonan daripada individu atau syarikat.
“Mantan Setiausaha Hasil Bumi, Datuk Haji Mohd Salleh Bin Haji Abbas juga telah menjelaskan bahawa surat tersebut merupakan maklum balas biasa untuk surat menyurat pelanggan atau orang awam dan bukan surat kelulusan,” kata Azis.
Tambah beliau, permohonan yang diterima ketika itu masih dalam proses penelitian dan belum ada sebarang kelulusan yang diberikan.
Azis seterusnya mengingatkan bahawa lesen perlombongan untuk Lincah Hebat Sdn. Bhd. hanya diluluskan pada 20 Januari 2025, iaitu ketika pentadbiran Kerajaan GRS.
“Justeru, dakwaan yang cuba mengaitkan Kerajaan Warisan dengan kelulusan tersebut adalah tidak tepat dan mengelirukan. Sekiranya GRS benar-benar tidak bersetuju dengan permohonan tersebut, mengapa mereka meluluskan lesen itu lima tahun kemudian?” soalnya.
Azis turut mengingatkan rakyat Sabah untuk memahami siapa sebenarnya yang terlibat dalam projek perlombongan ini, siapa pemilik Lincah Hebat Sdn. Bhd., serta siapa yang akan mendapat keuntungan daripadanya. Beliau menegaskan agar isu kepentingan politik dan kronisme turut diperjelaskan agar tidak ada kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Mengulas lebih lanjut, Azis menyatakan bahawa percubaan untuk mengaitkan Kerajaan Warisan dengan kelulusan yang berlaku semasa pentadbiran GRS dilihat sebagai usaha untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang dihadapi oleh Kerajaan GRS, seperti dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.
“Surat bertarikh 31 Januari 2019 itu hanya prosedur biasa. Kelulusan sebenar diberikan oleh Kerajaan GRS pada Januari 2025. Jika mereka yakin dengan ketelusan, saya cabar mereka untuk mendedahkan semua dokumen kelulusan, termasuk laporan impak alam sekitar dan justifikasi pemberian lesen tersebut,” katanya.
Azis menyeru semua pihak agar meneliti fakta dengan cermat dan tidak terpengaruh dengan dakwaan yang tidak berasas, sambil menegaskan bahawa Kerajaan Warisan komited untuk memerintah secara telus dan sentiasa bersedia untuk menjawab sebarang persoalan demi kepentingan rakyat Sabah.
