KOTA KINABALU: Konvensyen Bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) semalam menghantar mesej jelas bahawa akar umbi kedua-dua parti itu mahu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri ke-17 yang akan datang.
Laungan ‘Solo! Solo! Solo!’ yang mengiringi penampilan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor di pentas mengukuhkan lagi mesej tersebut.
Demikian juga apabila ribuan hadirin di Hongkod Koisaan, Penampang, tempat di mana konvensyen itu diadakan menyambut laungan ‘GRS!’ oleh Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dengan laungan ‘Solo!’ yang jelas dan padu.
Jeffrey dalam ucapannya secara terbuka meminta hadirin menyokong cadangan agar GRS bertanding secara bersendirian dalam PRN nanti.
“Pendirian STAR Sabah jelas, kami mahu GRS bertanding secara solo pada pilihan raya negeri akan datang. Kami mahu memastikan rakyat Sabah diperintah oleh pemimpin tempatan yang memahami perjuangan, aspirasi dan identiti kita,” katanya
Beliau menekankan bahawa sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah mengukuhkan kemerdekaan politik mereka dan tidak terikat kepada parti politik yang berpangkalan di Semenanjung.
“Kami percaya dalam menentukan haluan kami sendiri. Parti-parti berasaskan tempatan seperti GRS berada pada kedudukan terbaik untuk mempertahankan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan memperjuangkan isu-isu yang benar-benar penting bagi rakyat kita,” tambahnya.
Sementara itu nada yang sama dizahirkan oleh Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang dalam ucapannya menegaskan bahawa gelombang sokongan dari akar umbi tidak boleh diremehkan..
“Ahli-ahli kami sangat jelas. Mereka mahu GRS menjadi gabungan yang berpusat di Sabah. Mereka mahu melihat kita berdiri teguh, tanpa bersandar atau ditentukan oleh parti-parti dari Kuala Lumpur,” katanya.
Walaupun Hajiji, yang juga Ketua Menteri dan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, tidak secara langsung menyatakan sama ada GRS akan bertanding secara solo pada pilihan raya akan datang, beliau mengakui sentimen dari hadirin dan berkata gabungan itu akan membuat keputusannya berdasarkan apa yang terbaik untuk Sabah dan rakyatnya.
Kredit foto: FB SGmedia Groups
