Perpaduan kunci kemajuan Sabah, bukan sengketa politik – Salleh Said Keruak

KOTA KINABALU: Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan bahawa semangat kemerdekaan seharusnya menjadi pengajaran bahawa kekuatan sesebuah bangsa datang daripada kebersamaan, bukan perpecahan.

Bempena Hari Kebangsaan, beliau berkata Sabah yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini perlu memastikan bahawa perbezaan politik tidak menjejaskan perpaduan dan adab berpolitik.

“Perbezaan parti adalah hak rakyat, tetapi jangan sampai menjejaskan keharmonian. Persaingan politik mesti berasaskan idea membangunkan negeri, bukan maki hamun atau fitnah,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Menurut beliau, kemerdekaan tidak akan bermakna sekiranya politik hanya menanam benih sengketa yang berpanjangan.

“Kemerdekaan mesti diisi dengan kestabilan, keadilan, dan peluang untuk semua rakyat Sabah,” tambahnya lagi.

Salleh turut menekankan pentingnya semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai asas membina masa depan Sabah yang lebih baik dalam kerangka Malaysia yang bersatu.

“Perpaduan adalah kunci. Hanya dengan kestabilan dan kerjasama, Sabah akan benar-benar maju dalam Malaysia yang kuat. Sabah lebih besar daripada sengketa, dan Malaysia lebih bermakna dengan perpaduan,” ujarnya lagi – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *