KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas mendakwa rundingan yang ditawarkan tidak adil serta menghina maruah parti itu.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata keputusan berkenaan pahit untuk diterima kerana BN pernah bersama membina kerajaan negeri, namun perlu dibuat demi menjaga kepentingan parti.
“Daripada 14 kerusi yang rakyat berikan kepada BN pada Pilihan Raya Negeri lalu, hanya lapan ditawarkan kembali. Lebih memilukan, ada pemimpin GRS yang berkata jumlah itu pun sudah terlalu banyak untuk BN. Itu bukan rundingan, itu penghinaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kerusi BN yang asalnya dimenangi termasuk Tanjung Keramat, Pantai Dalit, Sugut, Sindumin dan Tempasuk telah ‘dirampas’ melalui tindakan politik lompat yang mencemarkan demokrasi di Sabah.
Beliau turut menegaskan GRS bukanlah parti yang lahir daripada mandat rakyat, sebaliknya wujud selepas perubahan politik di peringkat Persekutuan.
“Hakikatnya, GRS tidak pernah sekalipun bertanding atas nama sendiri, tetapi bergantung pada wakil rakyat yang melompat demi kuasa,” katanya.
Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran menambah, BN mungkin tidak sempurna tetapi rekod pembangunan dan khidmat kepada rakyat tidak boleh dinafikan, termasuk pembinaan sekolah, hospital, jalan raya dan peluang pendidikan.
Katanya lagi, GRS kini berdepan pelbagai isu termasuk skandal tanah, konsesi hutan, jet mewah serta lesen haram. “Sebuah kerajaan yang lahir daripada pengkhianatan hanya menunggu masa untuk rebah,” ujarnya.
“Lebih baik BN kehilangan kuasa seketika daripada hidup bersama pengkhianat yang hanya tahu menikam berulang kali.
“BN Sabah tidak akan mati ditelan pengkhianatan,” katanya sambil menegaskan parti itu akan terus berjuang bersama rakyat.
