KUALA LUMPUR: Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah menolak sekeras-kerasnya propaganda murahan yang dimainkan oleh Borneo Voice kononnya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mencapai kejayaan luar biasa dalam mengurangkan kemiskinan tegar.
Ketua Penerangan Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah, Effendy Salamon berkata, kenyataan ini jelas berniat mengelirukan rakyat dengan memanipulasi data dan angka semata-mata untuk menutup kegagalan pentadbiran kerajaan negeri hari ini.
“Hakikatnya, rakyat Sabah masih terus hidup dalam keadaan terhimpit, yang mana kos sara hidup semakin melambung, peluang pekerjaan hampir tiada, dan ramai anak muda terpaksa meninggalkan negeri serta tanah air sendiri demi mencari sesuap nasi.
“Jika kerajaan GRS menjadikan data songsang ini sebagai sandaran, maka kerajaan secara tidak langsung menidakkan penderitaan rakyat dan mengabaikan tanggungjawab untuk menyalurkan bantuan sewajarnya kepada golongan susah,” katanya kepada UMNO Online.
Effendy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sandakan menjelaskan rakyat tidak boleh ditipu dengan graf dan statistik kosong yang hanya indah di atas kertas.
“Sejarah membuktikan bahawa hanya ketika BN mentadbir, Sabah menikmati pertumbuhan ekonomi yang seimbang, pembangunan pesat dan peluang pekerjaan meluas yang benar-benar mengangkat martabat rakyat.
“Kesusahan rakyat tidak boleh disembunyikan di sebalik propaganda politik. Sabah hanya akan kembali makmur apabila dasar pembangunan yang berpaksikan kesejahteraan rakyat, seperti yang dibawa BN dahulu, dikembalikan semula,” katanya lagi.
Tegas beliau agar jangan sesekali memperbodohkan rakyat dengan data manipulatif. – UMNO Online

https://shorturl.fm/O0Tph