KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, menyifatkan video terbaharu ahli perniagaan Albert Tei yang mengaitkan dirinya dengan skandal perlombongan sebagai satu perangkap kerana beliau sendiri tidak begitu mengingati perbualan antara mereka.
“Saya terkejut kerana perbualan itu dirakam secara peribadi dan kini dipaparkan secara umum seolah-olah ia ada kaitan dengan skandal perlombongan,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh NST.
Beliau menjelaskan, video tersebut berkaitan sumbangan politik beberapa tahun lalu sebelum pilihan raya tanpa sebarang bukti resit, berbeza dengan isu skandal perlombongan yang dibangkitkan sebelum ini.
“Ia hanyalah percubaan untuk mengaitkan kami dengan skandal perlombongan yang langsung tiada kena-mengena dengan saya atau mana-mana wakil rakyat Parti Solidariti Tanah Airku (STAR),” tegas Presiden STAR itu menerusi mesej WhatsApp yang dipetik NST.
Jeffrey turut menegaskan bahawa sebagai ketua sebuah parti berteraskan konservasi, beliau mahupun STAR tidak akan memohon lesen perlombongan.
Albert Tei, yang telah didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, baru-baru ini menyiarkan satu lagi video yang menggambarkan seolah-olah wang telah dibayar kepada wakil rakyat STAR termasuk Jeffrey.
Dalam rakaman tular itu, Tei turut menyebut mengenai pembatalan lesen perlombongan.
Mengikut Ordinan Perlombongan 1960, hanya Ketua Menteri mempunyai kuasa undang-undang untuk meluluskan lesen perlombongan di Sabah dan tiada lesen boleh dikeluarkan tanpa kelulusan akhirnya.