TAMBUNAN: Sabah kini melangkah ke era baharu pertanian apabila Guarana, tanaman berkhasiat dari Brazil, dilancarkan sebagai komoditi baharu yang berpotensi tinggi untuk menjana pendapatan rakyat dan menggerakkan ekonomi negeri.
Langkah bersejarah itu dimeterai melalui Majlis Perasmian dan Pelancaran Pembelian Hasil Guarana serta Penyerahan Bibit Guarana Percuma yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, di Dewan Terbuka Pisompuruan, Tambunan, baru-baru ini.
Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau, menegaskan tanaman Guarana telah melalui kajian intensif oleh universiti tempatan termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan disahkan selamat ditanam serta tidak tersenarai sebagai tanaman berbahaya.
“Guarana mampu meningkatkan pendapatan rakyat, khususnya golongan B40. Jika diusahakan secara industri berskala besar, ia bukan sahaja melonjakkan ekonomi Sabah, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Beliau optimis guarana bakal menjadi ’emas hijau’ Sabah, tanaman alternatif baharu yang berdaya maju, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap komoditi tradisional sedia ada. – Utusan Borneo
