KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah telah menyita 11 kenderaan menerusi operasi khas “Ops Luxury” yang dijalankan dari Jun hingga September 2025.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, operasi khas itu memberi tumpuan terhadap pemilik kenderaan mewah yang didapati melanggar peraturan jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Antara kesalahan utama ialah tidak memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) sah serta ketiadaan perlindungan insurans aktif. Ops ini difokuskan kepada kenderaan mewah yang bergerak di jalan raya tanpa dokumen sah,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurut beliau notis saman telah dikeluarkan dan kenderaan dirampas di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Rampasan ini dilakukan bagi mengelakkan kesalahan yang sama berulang,” katanya.
Beliau berkata kenderaan yang dirampas terdiri daripada model jenama seperti Bentley Continental, Lexus, Range Rover, Mercedes Benz, Ford Mustang dan BMW. Kesemua rampasan dilakukan di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan dan Beaufort.
