Puteri UMNO Tawau perkukuh jentera akar umbi hadapi PRN Sabah

TAWAU: Puteri UMNO Bahagian Tawau terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh kesiapsiagaan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan menganjurkan Bengkel Sistem Informasi Jentera Rakyat (SIJR) yang berlangsung di tiga Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu Ranggu, Andrassy dan Kinabutan.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Tawau, Noratika Awang, berkata penganjuran bengkel ini merupakan antara usaha berterusan untuk memperkemas struktur dan peranan jentera Puteri di peringkat akar umbi agar lebih bersedia serta memahami tanggungjawab masing-masing menjelang PRN akan datang.

“Melalui bengkel ini, kita mahu setiap jentera bukan sahaja faham tentang fungsi dan tatacara penggunaan Sistem Informasi Jentera Rakyat (SIJR), tetapi juga mampu mengaplikasikannya secara berkesan di lapangan. Pendekatan berasaskan data dan maklumat ini penting bagi memastikan setiap gerak kerja kita lebih tersusun, pantas dan strategik,” katanya.

Menurutnya, Puteri UMNO Tawau komited melahirkan jentera muda yang berilmu, berdisiplin dan bersemangat tinggi dalam memperkukuh perjuangan parti di semua peringkat.

Ujarnya, bengkel ini juga menjadi medan mempererat ukhuwah dan menyemai semangat kebersamaan antara ahli Puteri, selain memperkukuh kefahaman terhadap hala tuju serta dasar parti.

Noratika menegaskan bahawa kesiapsiagaan jentera di peringkat akar umbi amat penting bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam PRN nanti.

“PRN akan menjadi medan penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN. Oleh itu, setiap ahli perlu memainkan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan kesungguhan. Kekuatan parti bermula daripada keutuhan jentera di bawah,” tambahnya.

Beliau turut menyeru agar semangat yang ditunjukkan dalam bengkel tersebut diteruskan dalam pelaksanaan gerak kerja harian parti, agar Puteri UMNO Tawau kekal menjadi tulang belakang yang aktif dan efektif dalam mendekati golongan muda serta masyarakat setempat.

‘Dengan pelaksanaan bengkel seumpama ini, Puteri UMNO Tawau semakin bersedia dan teratur dalam memastikan jentera di semua PDM berfungsi dengan baik dan mampu berdepan cabaran politik semasa secara matang dan tersusun,” katanya lagi. – UMNO Online

One thought on “Puteri UMNO Tawau perkukuh jentera akar umbi hadapi PRN Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *