PRN Sabah: PN bawa politik damai dan penyelesaian

SEPANGGAR: Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata, kuasa di tangan rakyat untuk menentukan hala tuju negeri dan masa depan Karambunai.

“Tarikh penamaan calon pada 15 November dan hari mengundi pada 29 November ini merupakan peluang besar kepada rakyat untuk memilih wakil yang benar-benar amanah dan berintegriti dalam menentukan dasar serta hala tuju pembangunan bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Kelompok PN N16 Karambunai di Kampung Unggun, kelmarin. Turut berucap ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, banyak isu berkaitan rakyat Karambunai telah dibangkitkan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk soal petempatan dan hak pemilikan tanah, di mana sebahagiannya telah diselesaikan sementara sebahagian lagi memerlukan masa serta iltizam untuk diselesaikan.

“Kampung-kampung yang sudah wujud lebih 50 tahun perlu diiktiraf sebagai penempatan kekal kerana penduduknya ialah rakyat tempatan yang berhak menikmati kemudahan dan jaminan pemilikan tanah yang sah,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS PAS Sabah.

Beliau juga menekankan isu peniaga kecil yang sering berhadapan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan dan mencadangkan agar lokasi khusus disediakan supaya golongan peniaga dapat berniaga dengan selamat, teratur dan tidak diganggu.

Dr Aliakbar turut menzahirkan hasrat untuk memperkukuh pembangunan sektor pendidikan di Karambunai dengan menambah kemudahan prasekolah mampu milik bagi membantu keluarga berpendapatan rendah serta membentuk generasi berilmu dan berakhlak, sebagaimana kejayaan institusi Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang telah melahirkan anak-anak berdisiplin dan celik agama seawal usia muda.

Tambahnya, misi PN ialah membawa politik damai dan politik penyelesaian, bukan politik maki hamun atau permusuhan, sebaliknya politik yang membina dan menyatukan rakyat tanpa menuding jari kepada pihak lain dalam menangani permasalahan masyarakat.

“PNBEST membawa maksud Bersih dan Stabil, menolak rasuah dan salah guna kuasa kerana amalan itu hanya menguntungkan pemimpin tetapi merugikan rakyat,” katanya.

Justeru, beliau menyeru rakyat agar memilih pemimpin yang amanah dan tidak memperdagangkan kuasa demi kepentingan peribadi.

Beliau juga menyeru semua penyokong PN agar menjadi tukang kempen ke arah kebaikan di setiap lapisan masyarakat, menjauhi budaya pelakon politik serta menghindari provokasi dan permusuhan, demi memastikan Karambunai terus maju dalam suasana damai dan sejahtera. – HARAKAHDAILY

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *