KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO Bahagian Semporna, Aby Zeehad Abdullah Sani menegaskan bahawa keharmonian politik di negeri Sabah perlu terus dikekalkan demi kestabilan dan kemajuan rakyat di negeri ini.
Menurutnya, Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi telah menjadi tonggak utama dalam memastikan perpaduan dan keharmonian antara kaum serta suku di Sabah terus utuh dan terpelihara.
“Jangan terbawa-bawa dengan politik kebencian yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu bagi memecahbelahkan perpaduan antara kaum dan suku di negeri ini.
“BN bukan sekadar parti, tetapi wadah penyatuan rakyat yang percaya kepada prinsip kestabilan, pembangunan dan kesejahteraan bersama. Jangan mudah terpedaya dengan retorik politik yang hanya muncul ketika musim pilihan raya, kerana setelah habis tempoh berkempen, rakyat jugalah yang menanggung akibatnya.
“Pada akhirnya, hubungan erat antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan perlu terus dikekalkan demi menjamin pembangunan yang seimbang, kestabilan politik, dan keharmonian yang berpanjangan di negeri Sabah.
Mengulas lanjut, kata Aby Zeehad lagi, Pengerusi BN Sabah merangkap Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin telah membuktikan kepimpinan yang berteraskan keikhlasan serta konsisten memperjuangkan kestabilan politik perpaduan terus terpelihara.
“Pemuda BN Sabah menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang sentiasa konsisten memperjuangkan kestabilan politik, perpaduan dan dan pembangunan untuk rakyat Sabah.
“Beliau (Bung) bukan sahaja seorang pemimpin berpengalaman, tetapi sentiasa turun padang mendengar sendiri suara rakyat di setiap pelusuk negeri. Komitmen beliau terhadap kesejahteraan rakyat membuktikan bahawa BN Sabah kekal relevan dan terus menjadi wadah perjuangan utama rakyat Sabah,” jelasnya.
Dalam masa yang sama Aby Zeehad, anak muda hari ini perlu menjadi penggerak utama kepada politik matang dan membawa suara perubahan kepada rakyat Sabah.
“Anak muda mesti berani bangkit mempertahankan keharmonian ini, berani menolak politik kebencian, dan berani memilih politik yang membawa masa depan. Masa depan Sabah terletak di tangan anak muda yang berani berjuang untuk kebenaran dan kesejahteraan rakyat.
“Pemuda BN Sabah akan terus memperkukuhkan solidariti dan terus berada di barisan hadapan memperjuangkan aspirasi rakyat serta memastikan BN kekal menjadi pilihan utama rakyat Sabah,” tegasnya. – UMNO Online
