ANALISIS PRN17: ANTARA ILUSI DAN REALITI

Oleh: Musli Oli

1. PRN17 sekali lagi membuka gelanggang realiti kepada BN Sabah: yang suatu masa  pernah menjadi tonggak kuasa di negeri ini, tetapi kini terperosok jauh dengan hanya enam kerusi diraih, jatuh mendadak berbanding 14 kerusi pada PRN2020.

2. Hakikat ini cukup pahit, lebih-lebih lagi apabila undi popular BN yang menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 2020 ternyata tidak membawa makna besar. Pada 2020 BN memperoleh sekitar 13.4 peratus undi, manakala PRN17 menaikkannya hanya kepada sekitar 13.7 peratus. Kenaikan setipis ini langsung tidak mengubah lanskap persaingan; malah BN terus tenggelam di belakang Warisan (sekitar 25–26 peratus) dan GRS. Jurang ini terlalu luas untuk disedapkan dengan statistik kosmetik.

3. Apa yang menjadikan keadaan lebih memeningkan ialah dakwaan tahun lalu bahawa UMNO Sabah memiliki 648,000 ahli, angka yang menjadikannya negeri yang mempunyai jumlah tertinggi berbanding negeri-negeri lain di seluruh negara. Itu belum termasuk ahli PBRS, MCA dan sejumlah kecil ahli MIC. Namun realiti PRN17 menunjukkan undi BN tidak pun menghampiri bayang angka keahlian tersebut. Di mana ratusan ribu ahli yang didakwa itu? Mustahil semuanya ghaib serentak.

4. Gagalnya mobilisasi akar umbi sebegini memberi isyarat bahawa keahlian di atas kertas tidak lagi bermakna dalam medan pilihan raya sebenar.

5. Untuk memahami kenapa BN Sabah terpukul begitu teruk, empat faktor jelas muncul. Pertama, sentimen penolakan terhadap Kerajaan Madani memberi kesan langsung terhadap BN-UMNO kerana ia sebahagian daripada kerajaan pusat. Pengundi bukan sahaja menghukum PH, tetapi turut menghukum rakan-rakan gabungannya. Kedua, slogan Sabah First menjadi gelombang yang mencengkam, memupuk naluri regionalisme yang kuat. Pengundi mahu parti lokal, bukan parti yang dianggap berakar umbi di Malaya. Ketiga, kepimpinan BN pusat sendiri tidak berupaya membina kepercayaan pengundi Sabah. Tidak menamakan “Poster Boy” merupakan kegagalan besar. Keempat, kepimpinan BN negeri pula gagal tampil sebagai alternatif yang meyakinkan, dan tidak berjaya melepaskan diri daripada bayang besar Kuala Lumpur.

6. Kesemua faktor ini bersilang, menghasilkan satu keputusan: BN Sabah tidak lagi dilihat sebagai parti yang mempunyai kuasa menentukan halatuju dirinya sendiri. Ia dilihat terlalu bergantung, terlalu bergayut, dan terlalu terikat dengan struktur pusat. Walaupun pimpinan UMNO pusat mendakwa Sabah diberi autonomi politik, realitinya autonomi itu lebih cokmar dalam ucapan berbanding dalam tindakan. Keputusan-keputusan penting, halatuju politik, penyusunan calon, dan bahkan strategi komunikasi masih diacu mengikut acuan pusat, bukan realiti tempatan Sabah yang jauh lebih kompleks.

7. BN memang cuba mengubah diri. Menurunkan 80 peratus muka baharu termasuk calon muda adalah usaha yang secara teori patut memberi nafas segar. Namun PRN17 membuktikan percubaan itu tidak memadai, kerana masalah BN bukan pada kosmetik calon tetapi pada struktur keputusan yang tidak berubah. Pengundi tidak sekadar menolak calon tertentu, tetapi menolak sistem hubungan Sabah–pusat yang dilihat terus membelenggu UMNO Sabah daripada menjadi parti yang benar-benar berdiri atas kaki sendiri.

8. Oleh itu, BN Sabah bukan sahaja perlu melakukan post mortem besar-besaran, tetapi perlu melakukan pembedahan politik yang jauh lebih keras daripada sekadar menukar nama dan wajah calon. Soalnya: mampukah pembedahan itu dilakukan jika badan berada di Kota Kinabalu tetapi kepala kekal berada di Kuala Lumpur?

9. Selagi UMNO Sabah tidak mempunyai kuasa sebenar untuk menentukan hala tujunya sendiri, selagi itu ia kekal berada dalam posisi sukar untuk kembali ke garis depan politik negeri. PRN17 bukan sekadar amaran, tetapi keputusan yang jelas menunjukkan bahawa pengundi Sabah mahukan parti yang benar-benar Sabah, bukan yang hanya memakai nama negeri tetapi ditarik talinya dari pusat.

10. Kesimpulannya, kegagalan BN Sabah bukan sekadar kegagalan satu pilihan raya, tetapi kegagalan memahami peralihan psikologi pengundi Sabah yang semakin matang, semakin tegas, dan semakin berani menolak parti yang dianggap tidak sepenuhnya bebas menentukan masa depannya sendiri. Selagi struktur pusat membayangi, selagi itu transformasi BN Sabah sukar berlaku dengan sebenar-benarnya. BN boleh hidup di atas kertas, tetapi untuk hidup di hati pengundi Sabah, ia memerlukan keberanian untuk benar-benar melepaskan diri daripada bayang Kuala Lumpur. Jika itu tidak berlaku, PRN17 mungkin bukan titik rendah, tetapi permulaan kepada penurunan yang lebih panjang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *