BILA SABAHAN BERSUARA…

“Mujurlah Pengerusi PH sendiri turun berkempen, bekerja keras dari pantai barat ke pantai timur, jadi PH dapatlah juga 1 kerusi. Kalau dia tak datang mungkin PH kena 0-22,” kata seorang kawan secara sinis.

“Mujur jugalah GRS cuma bagi 22 kerusi untuk PH bertanding, kalau bagi 30 kerusi, keputusannya mungkin 1-30,” kata seorang yang lain.

Penyokong PH tidak boleh marah kepada mereka. Di Sabah dan dalam khalayak politik di mana-mana sahaja di seluruh negara PH sekarang ini menjadi bahan jenaka. Sebuah gabungan yang menerajui Kerajaan Persekutuan, yang menghantar sejumlah besar jeneral-jeneral utamanya untuk berkempen di Sabah, dengan kuasa dan segala kemudahan, akhirnya terjungkang dijentik oleh rakyat di Negeri Di Bawah Bayu ini.

Yang paling buruk nasibnya ialah DAP. Kalau pada PRN2020 ia menang enam kerusi, dengan kebanyakannya beroleh majoriti yang besar, kali ini parti itu K.O. dengan 0-8. Sukar hendak dibayangkan bagaimana perasaan Tan Sri Lim Kit Siang, yang meninggalkan sekejap bangku persaraannya, untuk datang berkempen bagi DAP. Anaknya Lim Guan Eng, yang kini penasihat parti pun, mungkin sampai ke hari ini masih dihantui mimpi ngeri.

Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang dia mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan parti itu juga tidak membawa apa-apa erti. Jenguklah di ruang komen di medsos atau di portal tumpuan penyokong parti itu seperti Malaysiakini, anda yang tidak meminati Loke akan terhibur membaca komen-komen yang ‘membelasah’nya.

Kita tidak perlu bercerita tentang Amanah. PH hanya memberi satu kerusi kepada parti itu untuk ditandingi iaitu di DUN Sulabayan, berdepan dengan ‘gergasi’ Warisan Datuk Jaujan Sambakong. Dengan sokongan DAP, PKR dan sekutu-sekutu PH iaitu GRS dan BN yang tidak bertanding, calon Amanah itu mendapat 1,405 undi. Angka yang sudah cukup baik sebab kalau bertanding atas tiket Amanah sendiri, nasibnya barangkali tidak banyak berbeza dengan calon Parti Impian Sabah (PIS), Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) yang hilang deposit.

Tetapi yang betul-betul menanggung malu sebetulnya PKR. Sebagai tekong Kerajaan Madani, apatah diketuai oleh sosok yang menjawat jawatan Perdana Menteri, ia sepatutnya melakarkan kejayaan yang merangsang rakan-rakan gabungan lain. Seingat saya, dalam sejarah pilihan raya di Sabah, belum pernah parti yang menjadi tonggak Kerajaan Persekutuan, terpukul begitu teruk.

Bayangkan hanya 1 kerusi. SATU! Itupun bukan disumbangkan oleh ahli PKR asli, sebaliknya calon yang ‘dipinjamkan’ daripada GRS iaitu Datuk Jamawi Jaafar.  Dan bagi ramai orang Sabah yang mengenai calon itu, mereka tahu kemenangan Jamawi itu lebih didorong oleh faktor peribadinya berbanding faktor parti atau gabungan parti yang diwakili.

PH bernasib baik kerana tidak bersendirian menanggung malu. Rakan karib mereka, BN, yang pernah berdiri atas slogan ‘No Anwar No DAP’ juga turut ‘diajar’ cukup-cukup oleh pengundi Sabah. Dari 14 kerusi pada PRN16, BN kali ini cuma mampu menang 6 kerusi. Dua daripada kerusi itu pula dimenangi dengan majoriti yang sangat tipis iaitu, Bengkoka (77 undi) dan Lamag 153 undi). Sangat tidak berbaloi dengan kempen yang menyaksikan pemimpin-pemimpin utamanya dari Kuala Lumpur, bersama pasukan UMNO/BN dari hampir semua negeri di Semenanjung datang berkampung. Barangkali jumlah tambang pesawat mereka semua untuk ke Sabah berkali ganda lebih banyak daripada jumlah keseluruhan undi yang diperolehi BN.

Turut ditimpa malang ialah Perikatan Nasional (PN). Daripada 42 kerusi yang ditandingi, parti itu menang satu – dan kemenangan itu agak manis kerana ia merupakan kerusi pertama bagi PAS, yang merupakan komponen PN, di Sabah. Tetapi di sebalik kemanisan itu 36 calon PN hilang deposit. Pun begitu ia tidaklah menghairankan. PN bukan sahaja turun sebagai underdog, tetapi juga tempang sejak lama selepas majoriti ahli-ahli BERSATU Sabah keluar, dan menubuhkan PGRS (Gagasan Rakyat) yang merupakan tonggak GRS sekarang.

Apakah persamaan kesemua parti atau gabungan parti yang menanggung kekalahan teruk itu? Jawapannya mudah, kesemuanya parti yang berakar umbi di Semenanjung.

Keputusan PRN17 memperlihatkan dengan jelas bahawa rakyat Sabah tidak memerlukan parti luar untuk menyusun atur hidup mereka. Mereka bukan anti Semenanjung, sebab itu mereka boleh menerima GRS dan Warisan walaupun parti-parti itu menjadi sebahagian daripada Kerajaan Madani. Mereka tahu kedua-dua parti itu akar dan umbinya di Sabah. Yang mereka tolak adalah parti dari luar.

Elemen penolakan ini bukan baharu. Ia telah mula tampak ketara sejak PRU13, dan semenjak itu tidak pernah surut. Secara berdikit ia berkembang dan kali ini tiba di kemuncaknya. Saya yakin faktor utama yang menjadi pendorong adalah pertambahan pengundi-pengundi muda, golongan yang anda tidak boleh beli dengan janji, sejarah dan nostalgia!

Oleh: Tulus Budiman

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *