Kerjasama PRN 17: PKR jelaskan tiada pertemuan dengan UMNO Sabah

KOTA KINABALU: Dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Tadin berhubung rundingan awal pihaknya dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) menjadi tanda tanya apabila seorang pemimpin PKR Sabah menegaskan setakat ini tiada sebarang pertemuan antara kedua-dua pihak.

Sinar Harian dalam laporannya semalam memetik Pengarah Jentera Pilihan Raya PKR Sabah, Datuk Peto Galim sebagai berkata, tiada sebarang makluman diberikan kepadanya berhubung dakwaan pertemuan tersebut.

“Jawapannya, tidak ada perjumpaan dibuat. Secara jelas, saya tidak pernah di telefon (dihubungi), saya tidak pernah diberitahu.

“Ini adalah pandangan kumpulan mereka yang berminat bersama dengan kita dan bagi kita, siapa yang mempunyai inspirasi yang sama, mempunyai impian yang sama dengan kita untuk Sabah ini keluar daripada masalah ini, kita alu-alukan,” katanya.

Peto dilaporkan berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Raya Sekampung di Masjid Tun Ahmad Shah, Kampung Inanam Laut dekat sini pada Sabtu. Beliau sebelum itu diminta mengulas dakwaan Bung Moktar bahawa perbincangan awal telah dibuat mengenai kerjasama dengan PH Sabah untuk menghadapi PRN Sabah.

Menurut Sinar Harian lagi Peto turut menegaskan ketika ini PKR selesa bekerjasama dengan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-PH Plus.

“Kita senang dengan kerjasama kerajaan yang ada sekarang, kerana kita mempunyai wewenang ataupun impian yang sama dan seperti yang dikatakan oleh beberapa pemimpin dalam PH, konsep kita bekerjasama ini amat jelas, kita hanya mahu pemimpin yang ke depan.

“Parti-parti yang berkolaborasi ini mempunyai impian yang sama untuk membawa kita ke depan, membawa perubahan yang drastik terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat,” katanya, yang juga ADUN Inanam.

Sehubungan itu, Peto berkata, kemungkinan untuk PH bekerjasama dengan parti lain boleh berlaku sekiranya mereka berkongsi impian yang sama.

Untuk rekod pada 14 April lepas, Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe menjelaskan belum ada perbincangan rasmi antara BN dan PH Sabah sebagaimana didakwa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *