Abdul Rahman Noh seru rakyat bersatu hadapi PRN Sabah, setia untuk BN

SIPITANG: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung hujung bulan ini, Ketua UMNO Bahagian Sipitang, Abdul Rahman Noh, menegaskan komitmennya untuk menjadikan Sindumin sebagai kawasan contoh yang maju, bersatu padu dan berdaya saing di Pantai Barat Selatan Sabah.

Menurut beliau, Sindumin merupakan kawasan strategik yang memainkan peranan penting dalam menentukan arah pembangunan di bahagian selatan negeri itu. Namun begitu, katanya, pelbagai cabaran masih perlu ditangani dengan serius dan tuntas.

“Kita melihat infrastruktur luar bandar yang masih tertinggal, peluang ekonomi yang terbatas terutama untuk golongan belia dan wanita, serta akses kepada pendidikan dan kesihatan yang perlu diperkasa,” katanya kepada UMNO Online.

Abdul Rahman berkata, isu pembangunan dan kesejahteraan rakyat akan menjadi fokus utama perjuangan beliau menjelang PRN Sabah, selaras dengan hasrat UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk mengembalikan kepercayaan rakyat di peringkat akar umbi.

“Visi saya ialah menjadikan Sindumin sebagai satu kawasan contoh di Pantai Barat Selatan Sabah yang maju, bersatu padu dan berdaya saing melalui pembangunan seimbang antara pendidikan dan akhlak masyarakat.

“Saya mahu melihat rakyat Sindumin berdiri megah sebagai komuniti yang berilmu, berdikari dan berintegriti,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kepentingan perpaduan masyarakat pelbagai etnik di Sindumin sebagai kunci kepada kestabilan dan kemajuan kawasan itu.

“Dalam kita bersiap menghadapi PRN akan datang, perpaduan rakyat perlu terus dipelihara agar Sindumin kekal harmoni dan makmur,” tegasnya.

Abdul Rahman juga menyeru rakyat keseluruhan supaya terus memberi sokongan kepada perjuangan UMNO dan BN bagi memastikan suara rakyat kawasan itu terus didengar di peringkat negeri.

“Kepada rakyat Sindumin, percayalah saya ikhlas berkhidmat, setia dalam perjuangan. Tatap teguh, Sindumin maju, rakyat sejahtera,” katanya penuh semangat.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *