Agenda P.E.T.A.G.A.S mampu selesai isu masyarakat Petagas

PUTATAN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Petagas, Dr Afifi Saif, terus memperkukuh komitmen beliau untuk membawa politik khidmat dan penyelesaian rakyat apabila melancarkan tawaran dengan agenda P.E.T.A.G.A.S.

Katanya, P.E.T.A.G.A.S. adalah sebuah rangka tawaran menyeluruh yang menumpukan reformasi pendidikan, ekonomi rakyat, teknologi, kesihatan, sukan, budaya dan kebajikan.

Beliau menjelaskan tawaran itu bukan sekadar janji pilihan raya, tetapi pelan tindakan 60 hari pertama sekiranya beliau diberi amanah menjadi wakil rakyat.

“Jika rakyat Petagas memberi kepercayaan, dalam tempoh dua bulan pertama saya akan tubuhkan segera Pusat Khidmat, salurkan 20 peratus elaun bulanan ke Tabung Kebajikan DUN, dan membentuk Sukarelawan Rakyat untuk terus turun padang membantu sesiapa yang memerlukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada program Malam Seni Budaya di Dataran Pomoi Putatan, di sini malam tadi. Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah dan AJK PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa. (Foto atas)

Menurut Dr Afifi, ‘P’ bermaksud untuk Pendidikan Sepanjang Hayat.

“Tiada anak Petagas tercicir, majukan anak Petagas, majulah masa depan keluarga,” katanya.

Beliau berhasrat memperkenal Program Tuisyen Rakyat Percuma untuk kanak-kanak, Baucar Kursus Kemahiran untuk anak muda, serta kelas komuniti untuk warga emas termasuk Al-Quran, komputer dan keusahawanan.

Jelasnya, ‘E’ ialah Ekonomi Tempatan Diperkasa, justeru beliau mencadangkan penubuhan Petagas Local Market Hub, sebuah pusat rangkuman usahawan kecil, penjaja dan nelayan susulan cabaran kos sara hidup dan peluang kerja yang terhad,

Selain itu, ujarnya dana bantuan permulaan RM1,000 turut disasarkan kepada anak muda dan ibu tunggal yang ingin memulakan perniagaan kecil.

Tambahnya, ‘T’ (Teknologi Untuk Semua) di mana tawaran beliau turut menekankan internet percuma di 20 lokasi tumpuan serta pembangunan Smart Petagas App bagi memudahkan warga membuat aduan, memantau projek, dan mengakses bantuan secara telus.

Katanya, ‘A’ (Akses Kesihatan Mobile) bagi memastikan setiap keluarga mendapat rawatan asas, beliau menawarkan Klinik Bergerak bulanan, subsidi pemeriksaan gigi dan cermin mata untuk kanak-kanak, serta Kad Kesihatan Warga Emas Petagas.

Jelasnya lagi, ‘G’ (Generasi Sukan dan Rekreasi) dengan hasrat menyemarakkan kembali gaya hidup sihat dengan Petagas Fit, liga komuniti dan menaik taraf padang serta gelanggang di setiap mukim.

Beliau berkata, ‘A’ bermaksud Akar Budaya Dipertahan yang mana seni budaya pelbagai etnik di Petagas akan diberi nafas baharu melalui Minggu Kebudayaan Petagas dan pertandingan seni tradisional.

Bagi ‘S’ (Sosial dan Kebajikan Diperkasakan, beliau turut berikrar membantu keluarga miskin tegar dengan skim bantuan makanan bulanan dan bantuan kecemasan segera bagi kes kebakaran atau musibah.

“Inilah masa kita buktikan politik bukan untuk gaduh, tetapi untuk membina rakyat. Petagas berhak mendapat wakil rakyat yang bekerja, bukan hanya berkata-kata,” jelasnya.

Dr Afifi menegaskan keutamaan beliau adalah memastikan setiap lapisan masyarakat Petagas merasai pembelaan yang adil serta masa depan yang lebih terjamin dengan pendekatan bersih, berintegriti dan berpaksikan penyelesaian. – HARAKAHDAILY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *