KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching berharap agar kerajaan persekutuan tidak merayu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil cukai persekutuan yang dikutip di negeri itu.
Beliau berkata, hak berkenaan termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan dan tidak seharusnya dijadikan janji politik, sebaliknya perlu dilaksanakan sebagai satu tanggungjawab perlembagaan.
“Saya mengharapkan agar kerajaan persekutuan tidak merayu terhadap keputusan ini, kerana ia melibatkan hak rakyat Sabah yang telah lama dinafikan,” katanya ketika berucap pada sesi perbahasan belanjawan 2026, di Dewan Rakyat pada Rabu.
Katanya lagi keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu jelas menyatakan kerajaan persekutuan bertindak tidak sah kerana gagal memenuhi tanggungjawab terhadap tuntutan hasil berkenaan, dan kini perlu melakukan semakan semula bagi tempoh 1974 hingga 2021 serta berunding dengan kerajaan negeri Sabah.
Dalam pada itu, Siti Aminah menyambut baik langkah kerajaan memperuntukkan RM6.9 bilion kepada Sabah dalam Belanjawan 2026 dan meningkatkan kadar pemberian khas Sabah kepada RM600 juta pada tahun 2025.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa usaha memperkukuh pembangunan negeri tidak seharusnya menafikan hak yang telah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Janganlah kita menabur garam di hirisan luka yang masih berdarah. Sabah dan Sarawak adalah wilayah rakan pembentuk Malaysia,” katanya sambil menyeru semua Ahli Parlimen tanpa mengira blok politik agar bersama menoktahkan kemelut tuntutan 40 peratus hasil berkenaan.
Beliau turut menambah bahawa ketika bahang Pilihan Raya Negeri Sabah semakin dirasai, rakyat negeri itu menuntut perubahan yang menjamin keadilan fiskal, pembangunan dan kebajikan yang lebih baik. – UMNO Online
