Akan bertembungkah STAR dan PBS?

KOTA KINABALU: Sebaik sahaja Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengumumkan penarikan diri daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – atau digugurkan daripada gabungan itu jika mengikut versi GRS – tumpuan terarah pada hubungan STAR dengan Parti Bersatu Sabah (PBS). Ini kerana kedua-dua parti itu diketahui mempunyai memorandum persefahaman (MoU), malah di satu peringkat disebut-sebut akan bergabung.

Setelah STAR tidak lagi bersama GRS, bagaimanakan status MoU itu? Persoalan itu yang menarik perhatian umum.

PBS bagaimanapun tidak menanti lama untuk menyatakan pendiriannya. Sejurus selepas berita STAR, dan Parti Maju Sabah (SAPP) memilih jalan sendiri, Ketua Penerangan PBS Datuk Joniston Bangkuai tampil membuat kenyataan bahawa PBS dan STAR perlu mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi membincangkan MoU itu.

FMT dalam laporannya semalam memetik Joniston sebagai berkata perjanjian dimeterai berkenaan yang ditandatangani pada 2024 itu kekal berkuat kuasa sehingga kedua-dua pihak bersetuju secara bersama menggantung atau membubarkannya.

Beliau juga menyatakan antara objektif utama MoU itu adalah terus mengukuhkan gabungan GRS.

“Saya percaya satu pertemuan antara kedua-dua pihak perlu diadakan kerana Fasal 5 MoU itu menyatakan ‘MoU itu mengikat kepada pihak-pihak (PBS dan STAR) sehingga mereka bersetuju secara bersama untuk menggantung dan/atau membubarkannya’,” katanya kepada FMT.

MoU tersebut ditandatangani pada 18 April 2024 oleh Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan pemangku presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, yang kedua-duanya adalah timbalan ketua menteri.

Kitingan ketika itu menyatakan perjanjian berkenaan mendapat sokongan penuh daripada pengerusi GRS dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan bahawa ia akan memastikan kedua-dua parti berasaskan Kadazandusun Murut itu tidak akan bertembung pada PRN akan datang.

Kini, jika MoU itu digantung atau dibubarkan akan bertembungkah STAR dengan logonya sendiri dan PBS dengan baju GRSnya?

Sama-sama kita tunggu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *