Aliasgar mungkin tanding di DUN Pantai Dalit?

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan (WARISAN) Tuaran, Datuk Aliasgar Basri dikhabarkan berkemungkinan besar bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Dalit, sekali gus berdepan dengan penyandang daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Jasnih Daya, pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17.

Menurut sumber, keputusan untuk memindahkan Aliasgar dari DUN Sulaman ke Pantai Dalit dilihat sebagai strategi politik WARISAN bagi memperkukuh peluang parti itu menawan kerusi berkenaan.

Langkah ini turut dianggap sebagai percaturan taktikal yang mampu mengubah landskap politik di kawasan Pantai Dalit yang sebelum ini dikuasai oleh GRS.

Selain Aliasgar dan Jasnih, beberapa nama lain yang turut disebut sebagai calon berpotensi termasuk Alfian Sambas daripada Barisan Nasional (BN), Francis Fahir mewakili Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Jaesman Gipin daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM).

Aliasgar, 65, yang juga Setiausaha Penganjur WARISAN, mempunyai kelayakan akademik tinggi dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan dari Kolej Perniagaan dan Pentadbiran Universiti Southern Illinois serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Ketika diminta mengulas khabar angin itu, Aliasgar berkata, beliau bersedia menghadapi apa jua keputusan pucuk pimpinan parti.

“Saya bersedia untuk bertanding di DUN Sulaman. Sokongan semakin meningkat terutama dalam kalangan pengundi baharu.

“Namun jika pucuk pimpinan mencalonkan saya di kawasan DUN Pantai Dalit, saya dan rakan-rakan bersedia menggalas tanggungjawab untuk memenangi kerusi yang diamanahkan.

“Malah sekiranya saya tidak dicalonkan sekalipun kerana tanggungjawab yang lebih besar dalam parti, saya tetap akan terus bekerja untuk kemenangan WARISAN,” katanya ketika dihubungi.

Pantai Dalit mempunyai seramai 26,730 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 6,465 pengundi Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR), 13,279 Bajau, 1,078 Cina dan selebihnya daripada pelbagai etnik lain di Sabah.

Pada PRU DUN Sabah 2020, Jasnih menewaskan calon-calon lain dan memenangi kerusi Pantai Dalit atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 3,794 undi. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *