AMANAH namakan Mohd Julpikar calon DUN Sulabayan

KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (Amanah) mengumumkan Mohd Julpikar Ab Mijan sebagai calon mereka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan pada Pilihan Raya Umum DUN Sabah ke-17 yang akan datang.

Pengumuman itu dibuat dalam Konvensyen Amanah Sabah 2025 yang dirasmikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Sabu, di sini pada Ahad.

Menurut Mohamad, Julpikar merupakan tokoh muda yang berpotensi besar, mampu membawa gagasan politik yang berteraskan nilai serta memacu pembangunan di peringkat akar umbi untuk rakyat Sabah.

Beliau turut menggesa seluruh jentera Amanah di Sabah agar segera memulakan gerak kerja pilihan raya dan menyelaras usaha bagi memastikan parti itu berjaya meraih kerusi DUN pertamanya.

Mohamad mengingatkan semua anggota supaya mengekalkan nilai integriti dan keberanian moral sepanjang kempen, sambil menegaskan bahawa kemenangan sebenar bukan sekadar jumlah undi tetapi kepercayaan rakyat.

Mohd Julpikar, seorang pendidik dan aktivis masyarakat dari Semporna, memiliki ijazah dalam bidang Syariah dan Undang-Undang dari UIN Suska Riau. Beliau juga menerima beberapa pengiktirafan termasuk Anugerah Maulidur Rasul Semporna 2021 dan Ma’al Hijrah 2023.

Dalam PRU DUN Sabah nanti, beliau dijangka berdepan penyandang dua penggal kerusi Sulabayan daripada Parti Warisan, Datuk Jaujan Sambakong.

One thought on “AMANAH namakan Mohd Julpikar calon DUN Sulabayan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *