AMK Sabah sokong Zaidi Jatil calon N.6 Bandau

KOTA MARUDU: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah menyatakan sokongan penuh kepada Ketua AMK negeri, Zaidi Jatil, untuk dicalonkan mewakili Pakatan Harapan (PH) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.6 Bandau pada Pilihan Raya Negeri Ke-17.

Sokongan itu berasaskan rekod kepimpinan konsisten Zaidi yang disifatkan berani bersuara bagi pihak rakyat serta aktif menggerakkan kerja-kerja kemasyarakatan di Kota Marudu, khususnya di kawasan Bandau.

Menurut kenyataan bersama Ketua-ketua dan Ahli Majlis Pimpinan AMK Sabah, Zaidi bukan sekadar pemimpin politik, tetapi juga aktivis masyarakat yang sering turun padang membantu rakyat menghadapi cabaran seperti banjir, masalah kemudahan asas dan akses pendidikan.

Beliau turut giat melaksanakan program pembangunan belia serta mendekati masyarakat di kampung-kampung.

“Keupayaan beliau berinteraksi dengan semua lapisan masyarakat termasuk belia, wanita dan komuniti pedalaman membuktikan beliau calon yang dekat dengan denyut nadi rakyat,” kata kenyataan itu.

AMK Sabah percaya Zaidi membawa gagasan politik berkemajuan selaras dengan semangat reformasi dan Malaysia MADANI yang diperjuangkan KEADILAN.

Rekod kerja lapangan beliau di Bandau, tambah kenyataan itu, menzahirkan keprihatinan tulen terhadap masalah setempat dan menjadikannya calon berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri Sabah.

Sehubungan itu, AMK Sabah menyeru pucuk pimpinan parti agar memberi peluang kepada Zaidi untuk dipilih sebagai calon PH di DUN Bandau pada PRN-17.

“Tiba masanya rakyat diberi wakil yang benar-benar bekerja untuk mereka, membela kepentingan mereka dan membawa harapan baharu dengan memberikan kepercayaan kepada anak muda untuk bersama memimpin Sabah,” kata kenyataan itu lagi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *