KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick menyifatkan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah sebagai bercanggah serta mengelirukan.
Ewon, yang juga Ahli Parlimen Penampang, mempersoalkan bagaimana AGC boleh menyatakan bahawa kerajaan Persekutuan ‘tidak akan merayu’ keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, namun pada masa sama memaklumkan bahawa ia akan ‘merayu kecacatan dalam alasan penghakiman’.
“‘An appeal is an appeal’. Menyatakan tiada rayuan tetapi tetap merayu alasan penghakiman tetap satu bentuk rayuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, pendirian itu menimbulkan keraguan terhadap komitmen kerajaan Persekutuan untuk menghormati hak Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Beliau turut menegaskan bahawa tindakan merayu secara separa boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap usaha mempertahankan hak hasil negeri tersebut.
Ewon berkata tanggungjawab kerajaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan dan hak khas 40 peratus Sabah adalah dua perkara berasingan — yang pertama merupakan isu dasar, manakala yang kedua ialah hak perundangan yang unik kepada Sabah. Beliau menambah bahawa beberapa negeri lain turut mempunyai keistimewaan tersendiri di bawah Perlembagaan.
Jelasnya, rakyat Sabah memerlukan pembayaran semula hak hasil tersebut bagi tujuan pembangunan infrastruktur, kemudahan awam, pembasmian kemiskinan dan pelaksanaan program ekonomi serta keusahawanan di negeri itu.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendirian AGC dalam prosiding semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) — seperti direkodkan dalam penghakiman bertulis oleh Hakim Mahkamah Tinggi Celestina Stuel Galid — menjadi antara sebab utama beliau meletakkan jawatan dalam Kabinet Persekutuan.
Ewon berkata, walaupun AGC menyatakan ia menghormati prinsip Geran Khas, beliau menjangka kerajaan Persekutuan tetap akan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan. Menurutnya, sekiranya mahkamah membatalkan mana-mana dapatan Mahkamah Tinggi, keputusan mengiktiraf hak 40 peratus tersebut juga boleh terjejas.
“Alasan dan dapatan Mahkamah Tinggi adalah saling berkait. Jika sebahagian dibatalkan, pengiktirafan terhadap hak 40 peratus turut boleh gugur,” katanya.
Beliau menambah bahawa pendirian tegas UPKO turut dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi parti itu, yang merumuskan bahawa hanya parti-parti tempatan Sabah benar-benar memahami semangat dan aspirasi yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
