Anak jati Pantai Dalit sentiasa berbakti, bawa suara rakyat

KOTA KINABALU: Calon Barisan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Dalit Alfian Sambas berkata sebagai anak kelahiran dan membesar di kawasan itu, sehingga kini itulah bumi tempat beliau menetap dan berbakti.

Ujarnya, walaupun pernah ditakdirkan terbang tinggi dan jauh merentasi bumi Allah yang luas, tetapi kini hati beliau sudah tetap dan hinggap tertanam di bumi tumpah darahnya, Pantai Dalit sebagai tempat berjuang.

“Ramai anak jati Pantai Dalit yang hebat, namun saya mohon diberi peluang menjadi ‘Anak Jati’ pilihan hati, untuk membawa suara rakyat dan harapan Pantai Dalit ke hadapan,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Seterusnya, Alfian turut mengucapkan terima kasih kepada seorang sahabatnya yang telah mencipta lagu bertajuk ‘Anak Jati’ dan dedikasikan lagu tersebut khusus buat semua saudara mara, sahabat handai dan rakan taulan di Pantai Dalit.

“Demi Dalit, kita bangkit!,” tekadnya.

Alfian yang merupakan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tuaran berpengalaman luas dalam sektor kewangan dan pernah berkhidmat dalam bidang pengurusan dengan beberapa buah bank terkemuka di negara ini.

Dalam arena politik negeri kini, pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha UMNO Sabah.

Selain itu, Alfian juga aktif dalam kegiatan masyarakat setempat khususnya badan bukan kerajaan (NGO) belia dan usahawan muda.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah manakala hari penamaan calon pula adalah pada 15 Nov manakala pengundian awal pada 25 Nov.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 Nov 2025 (Jumaat).

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah.

Ahad lalu, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan BN akan bertanding di 41 kerusi DUN. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *