RANAU: Gelombang sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) di kawasan Ranau, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, semakin jelas apabila kumpulan anak muda setempat menyatakan keyakinan bahawa hanya BN mampu menjamin masa depan mereka serta membawa pembangunan berterusan di kawasan itu.
Dalam satu pertemuan anjuran Pergerakan Pemuda BN Ranau yang diketuai oleh Md Nadzmin Kamin, seramai 20 anak muda menyatakan sokongan termasuk lima wanita dan lima wakil senior masyarakat.
Menariknya, majoriti mereka bukan ahli mana-mana parti politik dan sebelum ini berada di ‘atas pagar’, namun kini menunjukkan minat yang tinggi untuk bersama BN.
Md Nadzmin berkata, penyertaan dan sokongan anak muda terhadap BN merupakan petanda positif bahawa perjuangan parti sentiasa relevan dan diterima oleh generasi baharu.
“Anak muda hari ini semakin matang menilai. Mereka mahu kestabilan dan hala tuju yang jelas, bukan janji kosong. BN menawarkan masa depan yang terjamin, dengan dasar yang berpaksikan pembangunan dan kebajikan rakyat,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa semangat kebersamaan dan kesetiaan ahli BN perlu diperkukuh sebagai usaha merialisasikan hasrat merampas semula kerusi DUN Karanaan yang suatu ketika dahulu dimenangi oleh BN sebelum wakil rakyatnya bertindak melompat parti.
“Dengan semangat jentera di semua peringkat, saya yakin kita mampu mengembalikan semula maruah BN di Karanaan,” ujar Md Nadzmin.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online
