KOTA KINABALU: Bekas Menteri Luar Negeri Tan Sri Anifah Aman sekali lagi akan mencuba nasib di DUN Bongawan pada pilihan raya negeri 29 Nov ini.
Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu akan bertanding di bawah tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi mencabar penyandang Dr Daud Yusof daripada Warisan.
PCS merupakan salah satu daripada enam parti di bawah GRS
The Star dalam laporannya semalam memetik Anifah sebagai mengesahkan perkara itu ketika dihubungi.
Anifah, yang merupakan Ahli Parlimen Kimanis sehingga 2018, pernah gagal menewaskan Dr Daud di Bongawan pada PRN 2020.
Ketika itu beliau yang bertanding atas tiket partinya mendapat 3598 undi, berbanding Dr Daud yang mendapat 5400 undi.
Dalam laporan yang sama The Star menjangkakan Barisan Nasional (BN) Sabah akan menurunkan Timbalan Menteri Luar Negeri Barisan Nasional Sabah, Datuk Mohamad Alamin — yang juga Ahli Parlimen Kimanis — bagi bertanding di Bongawan.
