KUNAK: Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Kunak, Datuk Seri Dr Anil Sandhu tampil menepis segala keraguan terhadap kelulusan akademiknya selepas menerima skrol Professional Master in Political Science pada Majlis Graduasi UTMSPACE, semalam.
Anil, 40, berkata pengajiannya selama dua tahun bukan perjalanan mudah — jadual padat, tuntutan kerja politik dan kekangan masa memaksa majlis konvokesyen ditangguhkan ke tahun ini.
“Ada yang meragui kelulusan saya, ada yang meminta saya tunjukkan bukti. Tetapi tidak semua perkara perlu saya jelaskan untuk memuaskan hati semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Walaupun berdepan tohmahan peribadi sepanjang kempen, Anil menegaskan beliau memilih pendekatan matang dan tidak menyerang calon lawan.
“Saya tidak pernah memburukkan sesiapa. Apa yang saya sampaikan hanyalah fakta untuk rakyat Kunak menilai,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada profesor dan pensyarah yang membimbingnya.
Pada PRN Sabah Ke-17, DUN Kunak menyaksikan pertandingan enam penjuru melibatkan 24,854 pemilih berdaftar. – SNT
Kredit foto: FB Anil Sandhu
