Apabila Gen Z dan Medsos “bergabung”

Minggu ini Nepal digoncang demonstrasi besar-besaran yang didorong anak muda—dikenali sebagai “Gen Z protest”—selepas kerajaan menyekat 26 platform media sosial termasuk Facebook, Instagram, WhatsApp, X dan YouTube atas alasan gagal berdaftar dan patuh kepada pengawasan baharu. Sekatan ini berpaut pada rang undang-undang “Social Media Act, 2081 (2025)” serta keputusan Mahkamah Agung Ogos lalu yang menuntut pendaftaran platform. Namun, langkah tersebut dilihat sebagai penapisan dan pencabulan kebebasan bersuara—lalu menjadi pencetus gelombang protes.

Biarpun sekatan kemudiannya ditarik balik, kemarahan tidak padam. Protes cepat bertukar isu, dari hal sosial media membiak menjadi anti-korupsi, nepotisme atau diistilahkan juga “nepo babies”, pengangguran belia dan rasa muak terhadap politik dolak-dalik —menggambarkan kekecewaan struktural yang sudah lama menimbun. Media arus perdana melaporkan anak-anak elit politik yang mempamer gaya hidup mewah di medsos menjadi simbol tentang betapa lebarnya jurang peluang dan ketidakadilan yang menyakitkan generasi muda.

Dalam hal ini medsoa berkeadaan sebagai sasaran sekatan negara di satu sisi, dan sebagai jentera mobilisasi yang merentasi sekatan di sisi lain. Seruan turun ke jalan melonjak melalui jaringan digital dan apabila akses dipotong, kesannya justeru memarakkan solidariti dan meningkatkan penyertaan. Secara  langsung sekatan menjadi boomerang.  Analisis antarabangsa menilai cubaan menutup platform telah menjadi pemangkin, bukannya perencat, kerana ia diserap sebagai bukti autoritarianisme dan ketakutan terhadap suara anak muda.

Kesannya ribuan orang turun di Kathmandu dan bandar lain; tidak timbul lagi soal ada yang mengambil kesempatan dan memanipulasi keadaan, yang pasti keadaan menjadi bercelaru, kompleks-kompleks kerajaan diserbu, ada yang dibakar. Bangunan Parlimen diceroboh dan dirosakkan, Malah beberapa pemimpin dan bekas pemimpin kerajaan turut diserang secara fizikal. Polis melepaskan peluru hidup, gas pemedih mata dan meriam air bagi mengawal keadaan; tentera dikerahkan dengan perintah berkurung. Pada awalnya dilaporkan sekurang-kurangnya 19 orang terkorban dan ratusan cedera, dan angka-angka itu masih dianggap paling konservatif. Laporan terbaharu Hindustan Times pagi ini memetik The Katmandu Post yang melaporkan angka korban meningkat kepada 30 manakala yang cedera pula melebihi 1000 orang.

Tekanan jalanan memuncak kepada peletakan jawatan Perdana Menteri K.P. Sharma Oli, diikuti seruan mewujudkan pentadbiran interim dan siasatan bebas. Walaupun kawalan keselamatan kemudiannya berjaya diperketat namun halatuju politik masih  tidak menentu; nama-nama seperti Balendra Shah (Balen), Datuk Bandar Kathmandu yang popular dalam kalangan belia serta bekas Ketua Hakim Sushila Karki disebut sebagai tokoh peralihan, tetapi setakat ini belum ada konsensus mengenainya.

Krisis Nepal mengingatkan pihak berkuasa di mana-mana pun juga bahawa menyekat platform tidak selalunya menyelesaikan masalah. Malah ia sering melahirkan ‘kesan Streisand’ di mana isu menjadi bertambah besar, legitimasi kuasa merosot, dan seterusnya memunculkan jaringan alternatif.

Begitulah. Penyelesaian terhadap apa juga isu memerlukan kematangan tindakan bukan semestinya dengan membina tembok penghadang.

 

Oleh: Tulus Budiman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *