KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu menyatakan pendirian yang jelas berhubung hak perlembagaan Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri, kata Naib Presiden Bersatu, Datuk Ronald Kiandee.
Beliau berkata kerajaan negeri perlu berterus-terang apakah pemberian khas RM200 juta hingga RM600 juta oleh kerajaan Persekutuan sebagai satu jumlah baharu yang dipersetujui kerajaan negeri atau sebaliknya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah menyuarakan kebimbangan selepas kenyataan menteri oleh Perdana Menteri di Parlimen, bahawa kajian semula itu mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan dan keperluan menampung pembangunan di negeri ini.
“Adakah ini bermaksud hak Sabah di bawah Perkara 112D telah terjejas? Adakah kerajaan negeri Sabah turut bersetuju dengan perkara ini?” soal beliau dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ahli Parlimen Beluran yang juga Pengerusi Bersatu Sabah itu menegaskan bahawa kerajaan negeri perlu bersikap telus mengenai pendiriannya dalam isu ini.
Tambah beliau, hak Sabah di bawah Perkara 112D tidak boleh dihakis dan disalahtafsirkan dengan obligasi kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 109, Perlembagaan Persekutuan.
“Lebih membimbangkan apabila Perdana Menteri menyatakan bahawa semakan itu mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan untuk menyokong pembangunan di Sabah.
“Apabila Perdana Menteri sendiri menggambarkan keputusan Mahkamah Tinggi sebagai ‘mengelirukan’ — hal ini amat membimbangkan,” katanya.
Sumber: The Star/Sinar Harian
