SOOK: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menegaskan komitmennya untuk membawa perubahan lebih besar di DUN Sook selepas secara rasmi melancarkan Manifesto Calon Barisan Nasional bagi N.45 Sook, hari ini.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu berkata, rekod perkhidmatannya sebagai Ahli Parlimen Pensiangan menjadi bukti bahawa pembangunan di Sook mampu dipacu lebih jauh jika beliau diberi mandat ke DUN.
Arthur berkata, projek-projek besar seperti pembinaan jalan dari Kampung Sinaron ke Kampung Linayukan di Tongod, pembinaan pasar tamu baharu, pembinaan sekolah rendah dan menengah, serta penubuhan cawangan bank pertama (Agrobank) di Sook adalah hasil usaha berterusan yang telah dinikmati rakyat.
Atas asas itu, beliau membulatkan keputusan untuk bertanding di peringkat negeri bagi menyelesaikan isu kritikal yang berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri seperti tanah, bekalan air dan jalan kampung yang sebelum ini tidak dapat ditangani di peringkat Persekutuan.
Dalam pelancaran manifesto tersebut, Arthur mengetengahkan tiga tekad utama dan tujuh tawaran besar bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk Sook, termasuk memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi tempatan melalui sokongan kepada perniagaan kecil dan sederhana, petani serta pengusaha tempatan.
Program latihan, bantuan kewangan dan insentif ekonomi akan menjadi tumpuan bagi membantu rakyat menambah pendapatan serta meningkatkan taraf hidup.
Beliau turut berjanji menaik taraf jalan-jalan kampung dan jalan pertanian melalui kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan, bagi memudahkan pergerakan penduduk serta memperlancar pengangkutan hasil pertanian.
Isu air bersih yang berlarutan di Sook turut diberikan keutamaan, dengan Arthur menekankan kesediaannya bekerjasama rapat dengan Jabatan Air Sabah bagi memastikan setiap rumah mendapat akses air bersih dan selamat.
“Saya berani bentang manifesto ini kerana pencapaian yang menyakinkan dalam manifesto PRU16, khususnya di Daerah Sook. Jangan pilih pemimpin yang suka berjanji tetapi pilihlah pemimpin yang sudah terbukti menunaikan janji,” katanya.
Pada PRN Sabah ke-17 ini, Arthur yang bertanding atas tiket BN bakal berdepan saingan lima penjuru dalam usaha menawan kerusi DUN Sook buat pertama kali. – SuaraTv

https://shorturl.fm/MGIur