Audit forensik SMM: Langkah pertama BN pulihkan integriti Sabah – Suhaimi

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan bahawa jika diberikan mandat untuk mentadbir semula kerajaan negeri, langkah pertama yang akan diambil ialah melaksanakan audit forensik penuh terhadap Sabah Mineral Management Sdn. Bhd. (SMM).

Ketua Penerangan UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, berkata audit tersebut amat penting bagi memastikan setiap kelulusan, lesen dan konsesi mineral negeri dibuat secara telus, berintegriti dan berpaksikan kepentingan rakyat Sabah, bukannya kepentingan peribadi atau politik.

“Isu SMM telah mendedahkan kelemahan serius dalam sistem pentadbiran sumber negeri. Apabila pengurusan aset negeri dipenuhi pelbagai kontroversi, ia menandakan sistem telah longgar dan perlu diperbetulkan segera,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Menurut Suhaimi, pelaksanaan audit forensik merupakan langkah asas bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap keutuhan pentadbiran negeri serta memastikan setiap hasil bumi Sabah diurus secara bertanggungjawab.

“BN percaya Sabah memerlukan kerajaan yang berani membetulkan, bukan sekadar menafikan. Audit forensik ini akan menjadi tindakan pertama BN dalam usaha mengembalikan kepercayaan rakyat,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa BN tidak datang untuk menghukum mana-mana pihak, sebaliknya untuk memulihkan disiplin, menegakkan integriti dan mengembalikan maruah kerajaan negeri.

“BN datang untuk membina semula integriti negeri, bukan mencari kesalahan. Yang penting ialah memastikan masa depan pentadbiran Sabah kembali kepada landasan yang betul,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 November, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.

Pada 6 Oktober lepas, Ketua Menteri Sabah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik. – UMNO Online

One thought on “Audit forensik SMM: Langkah pertama BN pulihkan integriti Sabah – Suhaimi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *