‘Azam kita jaga keharmonian, berkhidmat untuk semua’

SEPANGGAR: Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Dr Aliakbar Gulasan, menegaskan sebahagian besar pengundi di Karambunai adalah wanita.

Justeru beliau menyeru agar golongan tersebut memilih pemimpin yang berintegriti berasaskan agama serta memahami dosa dan pahala demi memperjuangkan perubahan ke arah yang lebih baik untuk Sabah.

“Kita akan terus berjuang agar kampung-kampung di Karambunai ini diiktiraf sebagai kampung tradisi. Azam kita adalah menjaga keharmonian, berkhidmat untuk semua, berkebajikan untuk semua, menyebarkan kebaikan untuk semua, serta menyampaikan ilmu untuk semua.

“Sekiranya Sabah maju, kitalah yang untung. Namun, jika Sabah mundur, kitalah juga yang rugi,” katanya yang juga merupakan ADUN Dilantik Negeri Sabah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Himpunan Jentera Wanita PN Karambunai bersama beliau di Likas, semalam.

Ketua Wanita PN negeri, Norsah Bongsu, pula menyeru jentera Wanita PN Karambunai diseru memainkan peranan penting menyampaikan kesedaran kepada pengundi, khususnya wanita, agar memilih pemimpin yang berintegriti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata kaum wanita mesti menetapkan azam serta hala tuju yang jelas dalam perjuangan mempertahankan tanah air dan agama, khususnya di Karambunai.

“Apabila niat telah diletakkan lillahi ta‘ala, jangan mudah terleka dengan ganjaran dan habuan dunia kerana Allah sebaik-baik Pemberi Ganjaran,” ujarnya

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya DUN Karambunai, Hasruddin Syamsuddin, menyeru jentera wanita PN memperkukuh peranan mereka di setiap PDM dengan memperbanyakkan aktiviti ziarah terhadap ibu tunggal dan golongan tercicir yang memerlukan sokongan moral serta motivasi.

“Jadilah wanita yang menguatkan perjuangan, bukan yang mengadu domba dan memecah-belahkan. Bersatu hati, saling membantu dan pastikan kemenangan calon PN di Karambunai ini,” tegasnya.

Himpunan tersebut dihadiri lebih 100 wakil jentera wanita PN dari tujuh PDM Karambunai sebagai tanda kesepakatan menuju kemenangan. – HARAKAHDAILY

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *