Azuwan Marjan ajak rakyat kembali sokong BN, beri peluang tadbir semula Sabah

KOTA BELUD: Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan, menyeru seluruh rakyat khususnya di kawasan Kota Belud agar memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk kembali menerajui tampuk kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan berlangsung pada 29 November ini.

Menurut Azuwan, BN kali ini tampil dengan semangat baharu serta barisan kepimpinan yang lebih dinamik dan berwawasan untuk membawa perubahan yang lebih baik kepada negeri Sabah.

“BN kali ini dipimpin oleh orang muda, yang bukan sahaja bersemangat tetapi juga mempunyai idea dan tenaga untuk membina semula Sabah. Saya yakin dan pasti, anak-anak muda, orang muda, serta wanita muda akan kembali menyokong BN pada PRN kali ini,” katanya ketika berucap dalam satu majlis perjumpaan bersama jentera pilihan raya UMNO Bahagian Kota Belud di sini.

Azuwan turut menegaskan bahawa sokongan generasi muda amat penting dalam menentukan hala tuju politik negeri, dan beliau yakin gelombang kebangkitan pengundi muda akan menjadi faktor penentu kemenangan BN.

“Kita harus melihat ke hadapan. BN telah belajar daripada pengalaman lalu, dan kali ini kami tampil dengan pendekatan yang lebih inklusif, mendengar suara rakyat serta memahami aspirasi orang muda. Kami mahu memastikan Sabah terus maju dan rakyat hidup lebih sejahtera,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa seluruh jentera parti agar berkempen habis-habisan bagi memastikan kemenangan BN di semua kerusi yang ditandingi.

“Kita bersama untuk bekerja habis-habisan bagi memenangkan BN. Setiap ahli parti mesti memainkan peranan, turun ke lapangan dan dekati rakyat. Beritahu mereka bahawa BN adalah pilihan terbaik untuk masa depan Sabah. Bersama-sama, kita pastikan kemenangan BN kali ini,” tegasnya.

Azuwan turut menzahirkan keyakinan bahawa dengan sokongan padu daripada semua lapisan masyarakat maka BN mampu membentuk kerajaan negeri yang stabil dan berdaya saing demi kepentingan rakyat.

“Inilah masanya kita bersatu. BN sudah bersedia untuk mentadbir semula dengan lebih baik, dengan semangat baharu,” tambah beliau.

PRN Sabah yang dijadualkan pada 29 November ini dijangka menyaksikan saingan sengit antara parti-parti utama, dengan BN bertekad untuk mengembalikan kepercayaan rakyat melalui pendekatan baharu dan kepimpinan segar yang lebih dekat dengan denyut nadi rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 November, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.

Pada 6 Oktober lepas, Ketua Menteri Sabah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *