KOTA KINABALU: Bilangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah menunjukkan penurunan pagi tadi, manakala di Sarawak jumlahnya kekal tidak berubah.
Di SABAH, jumlah mangsa banjir di PPS menurun kepada 439 orang daripada 128 keluarga pagi ini, berbanding 892 orang (273 keluarga) pada petang semalam.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), dalam satu kenyataan, berkata semua mangsa kini ditempatkan di empat PPS di daerah Penampang, Membakut dan Papar.
“Jumlah mangsa banjir di Papar (126 orang) dan Penampang (121 orang) menunjukkan trend penurunan, manakala di Membakut jumlah kekal 192 orang,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 53 kampung masih terjejas akibat banjir, melibatkan 24 kampung di Penampang, 20 kampung di Papar dan sembilan kampung di Membakut.
Di SARAWAK, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan masih terdapat 17 orang daripada lima keluarga di PPS Dewan Suarah Marudi, Miri, pagi ini.
Sementara itu, menurut Info Banjir Awam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air sungai di stesen Long Teru masih berada pada tahap bahaya iaitu 8.77 meter, manakala di stesen Marudi ia kekal pada paras 4.17 meter.
Sumber: BERNAMA
