Banjir di Kinabatangan: Empat kampung terjejas, 138 mangsa dipindahkan

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa yang dipindahkan dari empat kampung yang terjejas banjir di Kinabatangan meningkat kepada 138 orang daripada 30 keluarga setakat jam 4 petang hari ini, berbanding 131 orang (29 keluarga) pada pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan yang dipetik BERNAMA berkata, semua mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Garam.

Kinabatangan telah diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir pada 2 April lalu susulan hujan berterusan dan kenaikan paras air sungai ke tahap berbahaya.

Tujuh kampung di daerah tersebut, yang terletak kira-kira 306 kilometer dari Kota Kinabalu, telah terjejas akibat banjir dan PPS di SK Bukit Garam telah dibuka pada jam 6 petang Rabu untuk menempatkan para mangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *