Banjir Sabah: TPM arah pemasangan jambalan Bailey merentasi Sungai Kaiduan disegerakan

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan pemasangan segera jambatan Bailey merentasi Sungai Kaiduan, Papar, Sabah, selepas struktur sedia ada runtuh akibat banjir sehingga memutuskan akses ke kawasan tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini Ahmad Zahid mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), yang mempunyai kepakaran dalam pembinaan jambatan Bailey, melaksanakan pemasangan tanpa berlengah.

“Saya difahamkan bahawa jambatan di Sungai Kaiduan telah runtuh akibat banjir, menyebabkan kawasan itu terputus hubungan,” kata Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, sebagaimana dipetik Bernama.

Beliau berkata pembinaan jambatan tersebut perlu dipercepatkan kerana Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah membekalkan tiga unit jambatan keluli modular (jambatan Bailey) kepada kerajaan Sabah tahun lalu bagi meningkatkan kesiapsiagaan infrastruktur menghadapi bencana.

Selain menangani isu jambatan runtuh itu, Ahmad Zahid berkata JKR Sabah juga sedang menumpukan kepada kerja-kerja pembaikan di sepanjang Jalan Penampang-Tambunan berikutan kejadian tanah runtuh yang menjejaskan laluan utama.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan runtuhan, penstabilan cerun dan pembaikan segera sedang giat dijalankan dengan kerjasama syarikat konsesi.

“Usaha ini juga meliputi pembinaan semula jambatan gantung yang rosak, pembinaan semula tembok penahan cerun di kawasan perumahan yang terjejas akibat hakisan, serta pembaikan jalan yang runtuh,” katanya.

Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk kerana menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di Sabah.

Beliau menambah bahawa Ketua Pengarah Nadma, Datuk Abdul Halim Hamzah, bersama Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab, telah digerakkan untuk menyelaras pengurusan bencana di negeri itu.

“Saya berdoa agar semua negeri yang terjejas banjir dapat pulih dengan segera dan kehidupan dapat kembali normal secepat mungkin,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *