BEAUFORT: Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, menegaskan bahawa UMNO sentiasa menjadi benteng rakyat ketika berdepan musibah, dan kehadiran kepimpinan tertinggi negara di daerah Beaufort membuktikan kerajaan serta parti tidak pernah meminggirkan rakyat.
Beliau berkata demikian selepas beliau berpeluang mengiringi Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang hadir meninjau keadaan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Selagon, Beaufort, kelmarin.
“Alhamdulillah, kunjungan YAB Timbalan Perdana Menteri bersama rombongan ke Beaufort amat bermakna kepada mangsa-mangsa banjir. Ia memberi kelegaan dan semangat baru kepada mereka yang kini berada di pusat pemindahan. Kehadiran ini juga membuktikan bahawa kerajaan sentiasa turun ke akar umbi untuk melihat sendiri kesusahan rakyat,” katanya kepada UMNO Online.
Awang Aslee turut menegaskan bahawa jentera UMNO Beaufort telah digerakkan sejak awal bencana melanda, seiring dengan peranan UMNO sebagai parti yang dekat dengan rakyat.
“Sejak hari pertama banjir, UMNO Beaufort telah turun padang. Kita membantu menguruskan perpindahan mangsa, menyediakan makanan, selimut dan keperluan asas. Inilah DNA UMNO iaitu berkhidmat tanpa mengira masa dan keadaan.
“Kita tidak menunggu arahan, sebaliknya terus bertindak kerana rakyat adalah keutamaan,” tegasnya.
Turut hadir dalam rombongan tersebut ialah Pengerusi UMNO/BN Sabah merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Acing, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sapar Untong, pegawai kanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), agensi-agensi di bawah KKDW, pegawai kanan kerajaan negeri, serta wakil agensi keselamatan termasuk polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk agensi keselamatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, pihak hospital, NGO serta sukarelawan yang turut sama berganding bahu. Ini membuktikan semangat kesatuan yang kuat di Beaufort, dan UMNO akan terus memainkan peranan sebagai jambatan rakyat dengan kerajaan,” tambah beliau lagi.
Awang Aslee dalam masa sama menyeru rakyat Beaufort untuk terus tabah menghadapi dugaan banjir ini.
“Bencana ini adalah ujian, dan kita perlu hadapi dengan sabar serta semangat gotong-royong. Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, Beaufort akan segera bangkit semula. UMNO Beaufort komited untuk terus bersama rakyat, bukan sahaja ketika banjir tetapi dalam apa jua keadaan.
“Dengan kesatuan, keprihatin dan peranan yang konsisten, apa yang pasti UMNO ini bukan sekadar sebuah organisasi politik, tetapi payung yang melindungi rakyat dalam pelbagai suasana,” katanya lagi. –UMNO Online
