LAHAD DATU: Bekas Ahli Parlimen Silam (kini Lahad Datu), Datuk Dr Salleh Kalbi, meninggal dunia di Hospital Lahad Datu pada jam 4.40 pagi tadi akibat jangkitan paru-paru.
Menurut BH perkara itu disahkan isterinya, Datin Fatmah Abdul Aziz yang memaklumkan bahawa Allahyarham menerima rawatan di hospital berkenaan sejak kira-kira dua minggu lalu.
Beliau berkata, jenazah akan diurus serta disembahyangkan di Masjid Firdaus, Kampung Sapagaya, sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Terusan, di sini, selepas solat zohor nanti.
Allahyarham pernah menjadi Ahli Parlimen Silam daripada UMNO mewakili Barisan Nasional (BN) dari 2008 hingga 2013.
Ketika itu, Parlimen berkenaan mempunyai tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan Lahad Datu (kini Silam), Tungku dan Kunak.
Bagaimanapun sejak Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) Sabah pada 2020, satu kawasan DUN baharu ditambah di kawasan Parlimen berkenaan, iaitu Segama.
Salleh terus aktif berpolitik melalui PKR sebelum menghembuskan nafas terakhir pada usia 61 tahun.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua anak perempuan.
